15 Tips Peraturan Pengurusan Kewangan Peribadi Yang Mudah

15 Tips Peraturan Pengurusan Kewangan Peribadi Yang Mudah

#1 Berbelanja kurang daripada pendapatan

Jika terdapat peraturan asas kewangan peribadi tunggal, inilah dia. Anda perlu berbelanja kurang daripada apa yang anda perolehi dan meletakkan perbezaannya untuk masa depan supaya anda masih boleh hidup sewaktu anda tua dan tidak lagi mempunyai peluang dan tenaga seperti hari ini kelak. Tanpa pendapatan yang lebih besar dari perbelanjaan, anda tidak akan dapat mencapai matlamat kewangan yang besar tanpa keajaiban – di mana anda tidak boleh bertaruh masa depan anda dengan keajaiban.

#2 Berikan tumpuan pertama untuk bina dana kecemasan anda

Jika anda tidak mempunyai dana kecemasan tunai yang berada di dalam akaun simpanan bank anda, ini harus menjadi keutamaan nombor satu anda. Duit tunai adalah penting untuk menyelesaikan semua masalah kehidupan yang dilemparkan kepada anda. Tidak seperti kredit, duit tunai boleh didapati dalam situasi masalah kredit atau kecurian identiti. Anda boleh mula membina dana kecemasan dengan membuat pemindahan automatik mingguan atau bulanan daripada akaun gaji anda ke dalam akaun simpanan anda, dan biarkan sahaja akaun tersebut sehingga ada kecemasan berlaku.

#3 Berikan tumpuan kedua untuk menghapuskan hutang dengan kadar faedah yang tinggi

Jika anda sudah mempunyai dana kecemasan, anda seharusnya memberikan tumpuan untuk menghapuskan hutang dengan kadar faedah yang tinggi. Sediakan pelan pembayaran balik hutang dengan menyenaraikan hutang dari yang mempunyai faedah tertinggi kepada yang terendah, kemudian cuba untuk membuat bayaran dua kali ganda (atau lebih) pada apa sahaja hutang yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi. Buat bayaran berganda setiap bulan, jadia apabila hutang tersebut sudah terhapus, tambah jumlah pembayaran tersebut kepada pembayaran untuk hutang anda yang seterusnya di dalam senarai. Ulangi langkah tersebut sehingga semua hutang anda terhapus.

#4 Berikan tumpuan ketiga untuk menyimpan untuk persaraan

Setelah anda berjaya menghapuskan semua hutang dengan kadar faedah yang tinggi anda, mulalah menyimpan untuk persaraan. Untuk yang bekerja makan gaji, caruman ke dalam KWSP adalah salah satu cara untuk anda dan majikan menyimpan untuk persaraan anda. Jika anda kerja sendiri atau tidak mempunyai kerja yang tetap, anda juga masih boleh mencarum dengan KWSP dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia. Jika anda ingin menyimpan untuk persaraan menggunakan khidmat pengurusan pencen swasta, ada beberapa institusi kewangan yang menawarkan servis seumpamanya di Private Pension Administrator. Menyumbang beberapa ratus ringgit duit anda mungkin menyakitkan, namun ia sebenarnya akan berakhir menjadi beban yang lebih kecil berbanding apa yang anda sangkakan. Anda pasti gembira apabila mengetahui yang persaraan anda terjamin oleh simpanan anda.

#5 Beli insurans hayat bertempoh untuk menampung tanggungan anda

Jangan biarkan ejen insurans menipu kamu. Anda tidak perlukan insurans hayat yang banyak melainkan anda mempunyai tanggungan (maksudnya orang sekeliling anda yang bergantung secara langsung dengan pendapatan anda). Jika anda mempunyai tanggungan, keputusan terbaik adalah dengan mendapatkan polisi insurans hayat berjangka (term life insurance), yang mana akan dapat membayar duit untuk menjaga tanggungan anda sekiranya anda meninggal dunia. Pelan-pelan insurans yang lain menawarkan perkara-perkara yang anda tidak perlukan dan mengenakan caj yang cantik untuknya.

#6 Ketahui berapa banyakkah duit gaji yang sebenarnya anda dapat dari setiap jam kerja anda

Kirakan berapa banyakkah duit gaji yang anda dapat pada tahun lalu selepas cukai, kemudian tolakkanya dengan semua kos perjalanan, pakaian professional, makanan yang berkaitan dengan kerja dan perbelanjaan lain yang anda bayar daripada poket anda. Kemudian, kirakan berapa jamkah anda bekerja ditambah dengan masa perjalanan pergi dan balik kerja dan menghadiri mesyuarat berkaitan kerja anda. Bahagikan pendapatan selepas perbelanjaan untuk bekerja anda dengan jumlah jam kerja anda untuk mendapatkan gaji sebenar setiap jam kerja anda. Itulah nilai sebenar setiap jam yang anda jual masa anda.

#7 Gunakannya sebagai titik perbandingan untuk semua yang anda beli

Saya dapati bahawa gaji sebenar setiap jam kerja saya adalah satu nilai yang amat berharga. Saya gunakannya sebagai perbandingan untuk hampir semua benda yang saya beli. Katakanlah “gaji sebenar” saya ialah RM10 setiap jam. Jika saya bercadang untuk membeli DVD berharga RM20, saya akan bertanya kepada diri saya sendiri adakah berbaloi dua jam kerja saya untuk memilikinya berbanding dengan saya menyewanya. Jika saya ingin membeli televisyen berharga RM1000, saya bertanya kepada diri saya sendiri sama ada ia bernilai 100 jam dalam hidup saya untuk memilikinya atau sebaliknya membeli televisyen yang lebih kecil. Ia selalunya menggalakkan saya untuk bertanya kepada diri sendiri apakah saya berbelanja untuk perkara yang betul-betul penting di dalam hidup saya.

#8 Tetapkan matlamat yang besar dan selalulah mengingatkan diri anda kepadanya

Apakah yang anda mahu untuk masa depan anda? Ia adalah satu soalan yang sukar, tetapi ia boleh memberikan motivasi yang luar biasa dan halatuju untuk perkara yang anda lakukan di dalam kehidupan anda seharian, dengan menggalakkan anda untuk melakukan langkah-langkah yang lebih baik.

Adakah anda ingin bersara awal dengan selamat? Adakah anda ingin memulakan perniagaan? Adakah anda ingin melancong ke seluruh dunia? Apa juga matlamat anda, simpan dalam fikiran anda setiap masa. Isikan hidup anda dengan peringatan tentang impian anda yang besar supaya anda membuat pilihan yang lebih baik sejajar dengan matlamat hidup anda apabila menangani keputusan-keputusan yang kecil di dalam hidup anda.

#9 Ajar anak-anak mengenai pengurusan kewangan peribadi dari awal dan jadilah contoh yang baik

Berbincanglah dengan anak-anak anda tentang duit bermula dari awal usia. Terangkan kepada mereka kebaikan membelanjakan duit kurang dari apa yang mereka dapat dan tidak menceburkan diri di dalam hutang. Sebaiknya, lakukannya di hadapan anak-anak anda. Jangan hanya bercakap mengnenainya, buat. Tunjukkan kepada mereka bagaimana ia dilakukan dengan tindakan yang anda buat setiap hari. Jika anda bercakap mengenai berbelanja kurang dari yang anda dapat dan lakukannya setiap hari, pelajaran tersebut lebih mudah untuk melekat.

#10 Abaikan iklan

Cuba sebanyak mana yang anda boleh untuk mengurangkan iklan dari dalam hidup anda. Kurangkan masa yang anda habiskan untuk membaca majalah. Elakkan dari menonton iklan di televisyen atau cari jalan untuk tidak menonton iklan sama sekali, seperti iflix. Adalah sukar untuk betul-betul menghapuskan iklan di dalam kehidupan moden, tetapi jika anda kurang terdedah kepadanya, godaan juga kurang untuk anda habiskan duit anda pada produk yang anda tidak perlu.

#11 Jangan bimbang tentang apa yang orang lain akan fikir

Jangan memilih kereta untuk menarik perhatian orang lain. Jangan memilih pakaian untuk menarik perhatian orang lain. Jangan memilih gajet untuk menarik perhatian orang lain. Mengapa? Kerana ia sebenarnya tidak menarik perhatian mereka pun. Satu-satunya perkara yang menarik perhatian orang lain pada anda ialah diri anda sendiri. Bagaimana anda membawa perwatakan anda, bagaimana anda berkongsi idea anda dan bagaimana anda mendengar dan memberi maklum balas kepada kepada orang lain adalah lebih penting.

#12 Juga jangan bimbang tentang bagaimana orang lain menghabiskan duit mereka

Jika anda melihat seseorang memandu sebuah kereta yang mahal, jangan gunakannya sebaga alasan untuk merasa cemburu atau memberitahu diri anda yang anda juga perlu sebuah kereta yang mahal. Anda tidak perlukannya. Hanya kerana orang lain memilih untuk membeli barang-barang atau makan di restoran-restoran tertentu atau apa sahaja yang orang lain lakukan dengan duit mereka, bukan bermakna anda juga perlu melakukannya. Buat pilhan dan belanjakan duit ke atas perkara-perkara yang anda perlukan, bukannya perkara-perkara yang orang lain peduli.

#13 Ikuti jadual penyelenggaraan kereta anda

Adalah mudah untuk kita lupa tentang jadual penyelengaraan kereta kita. Walaupun anda menghidupkan kereta setiap pagi, anda hampir-hampir terlupa mengenainya. Masalahnya apabila kita mengabaikan penyelengaraan untuk satu jangkamasa panjang, lama kelamaan kereta boleh rosak jauh lebih awal daripada yang dijangkakan.

Kereta anda mempunyai jadual penyelenggaraan dalam manual pemilik yang boleh anda ikuti dengan mudah. Ia akan memberitahu anda penyelengaraan yang manakah untuk perbatuan yang tertentu, dengan itu memudahkan anda untuk membuat temujanji.

#14 Kongsi impian dan kesilapan anda dengan pasangan anda

Jika anda berada di dalam hubungan jangka panjang, sikap terbuka dengan pasangan anda tentang impian anda dan juga kesilapan anda adalah satu cara yang sangat berkuasa untuk mengekalkan fokus anda dan terus membuat keputusan yang baik dalam kehidupan.

Luangkan masa sekurang-kurangnya seminggu sekali bercakap dengan pasangan anda tentang matlamat besar anda dalam kehidupan serta apa-apa cabaran dan kesilapan yang anda tempuhi. Berikan semangat kepada pasangan anda untuk melakukan perkara yang sama dan elakkan emosi negatif mempengaruhi anda. Beri galakan antara satu sama lain untuk melakukan penambahbaikan dan teruskan memberi semangat sepanjang minggu. Ia pasti memberikan perbezaan yang ketara di dalam kehidupan anda.

#15 Ingatlah bahawa “material” tidak akan membuatkan anda bahagia

Kebahagiaan datangnya dari dalaman. Semua “material” yang ada di dalam dunia ini tidak akan membuatkan anda bahagia, tetapi jika anda berasa gembira di dalam, anda tidak perlukan banyak untuk menggembirakan hati. Jangan sekali-kali terbeli idea yang memiliki sesuatu material akan membuatkan anda lebih bahagia daripada apa yang anda ada sekarang, kerana ianya tidak akan berlaku. Satu-satunya cara yang duit boleh bantu ialah dengan mengurangkan tekanan anda dan akhirnya memperbaiki pilihan kehidupan kewangan anda melalui jaminan kewangan yang lebih baik. Anda hanya boleh ke sana dengan menjadi pintar dengan pengurusan duit anda.

Semoga berjaya!

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz