Jim Rohn Quote

3 Tabiat Duit Yang Membezakan Antara Kaya Dan Miskin

Antara nasihat Jim Rohn yang masih terngiang-ngiang di telinga saya sampai sekarang ialah “Mengapa tidak bekerja sepenuh masa untuk profesyen anda dan bekerja separuh masa untuk bina kemewahan anda?” Dengan keadaan ekonomi sekarang, memang sebenarnya tidak janggal untuk kita mempunyai lebih dari satu pekerjaan. Sebaik-baiknya menurut Encik Rohn, bekerjalah sepenuh masa untuk dapat gaji, tetapi pada masa yang sama, bekerjalah “part-time” untuk membina kemewahan masa depan.

Bukankah lebih bagus rasanya apabila kita katakan, “Saya sedang berusaha untuk menjadi kaya. Saya bukannya bekerja hanya untuk membayar bil-bil dan hutang saya sahaja“. Jika anda mempunyai pelan untuk mencipta kemewahan, anda akan menjadi begitu bermotivasi sehinggakan anda sukar untuk tidur pada waktu malam.

Jim Rohn sebenarnya berkongsi satu formula mudah (tetapi bukan bermaksud ia senang untuk dilakukan), bagaimana kita boleh mula untuk bina kekayaan. Berikut adalah bagaimana duit yang anda dapat pada setiap bulan perlu diperuntukkan.

Peraturan 70/30

Selepas anda membayar cukai (mungkin PCB) daripada pendapatan bulanan anda, belajar untuk hidup dengan 70% daripada pendapatan selepas cukai anda. Ini adalah duit yang diperuntukkan untuk segala perbelanjaan harian, keperluan dan kemahuan anda. Adalah penting untuk kita ketahui bagaimana kita boleh peruntukkan pada baki 30% tersebut. Mari kita peruntukkan dengan cara berikut:

Sedekah dan kebajikan

Untuk 30% duit yang tidak dibelanjakan, satu pertiga daripadanya sepatutunya disalurkan kepada kebajikan. Keluarkan sedekah untuk masjid, rumah anak yatim atau badan kebajikan yang memerlukannya. Encik Rohn percaya yang 10% dari pendapatan kita adalah satu amaun yang bagus untuk disedekahkan. Jumlah sedekah tersebut sepatutnya tidak termasuk zakat pendapatan yang wajib dikeluarkan, kerana ia sudah kewajipan. Zakat pembersih harta, sedekah penawar jiwa.

Amalan bersedekah lebih baik dimulakan dari awal, dengan jumlah yang kecil. Adalah lebih mudah untuk mengeluarkan 10 sen daripada satu ringgit yang kita dapat, berbanding mengeluarkan RM100,000 daripada RM1 juta. Mungkin anda akan berkata, “Oh, jika saya ada RM1 juta, saya pasti akan keluarkan RM100,000.” Maaf, saya tidak begitu pasti jika anda boleh lakukannya. RM100,000 adalah satu jumlah yang banyak. Mulakan lebih awal supaya anda boleh memupuk tabiat sebegini sebelum duit yang lebih besar datang kepada anda.

Modal pelaburan

Anda akan mula membina kekayaan dengan 10% kedua pendapatan selepas cukai yang anda terima. Inilah duit yang akan anda gunakan untuk membeli, membaiki, merekacipta atau menjual. Yang penting adalah untuk melibatkan diri anda dengan perniagaan (bisnes), walaupun “part-time”.

Pada saya, pelaburan yang terbaik pada waktu ini adalah pelaburan untuk diri anda sendiri. Beli buku pengurusan kewangan dan bisnes. Baca dan fahamkan. Belajar dari orang yang telah berjaya dalam bidang bisnes yang anda ingin ceburi. Berikan satu tempoh masa yang sesuai untuk anda belajar dan memperbaiki diri. Bahagian paling sukar selepas melabur pada diri anda sendiri ialah untuk melaksanakannya. Nak tukar “mindset” bukan boleh ambil satu dua minggu. Saya sendiri pun masih belajar dengan buku-buku, hadir seminar dan personal coaching dengan mentor, walaupun sudah bertahun-tahun memulakan bisnes “part-time“.

Jadi, bagaimana nak cipta kekayaan? Terdapat banyak cara sebenarnya. Luaskan imaginasi anda. Cuba lihat ke dalam diri, apakah kemahiran yang anda ada atau hobi anda. Anda mungkin boleh mendapatkan ilham dengannya untuk cuba menjadikannya sebagai satu perusahaan yang menguntungkan. Anda juga boleh belajar untuk membeli barang secara borong dan menjualkannya dengan harga runcit. Atau anda boleh membeli sebiji hartanah dan memperbaikinya. Anda juga boleh menceburkan diri dalam network marketing, kerana inilah satu perniagaan yang tekah mengubah hidup Encik Rohn. Gunakan 10% tersebut untuk mendaftar, membeli alatan, produk atau ekuiti yang sesuai untuk memulakannya. Jangan menunggu peluang jatuh ke riba anda. Carilah peluang.

Things may come to those who wait, but only the things left by those who hustle.

Abraham Lincoln

Simpanan

10% terakhir mestilah dimasukkan ke dalam simpanan. Saya anggap ini adalah salah satu bahagian yang paling menarik sewaktu membina pelan kekayaan anda kerana ia boleh menawarkan ketenangan fikiran sebagai persediaan untuk waktu sukar dalam hidup. Takrifan Encik Rohn tentang “kaya” dan “miskin” adalah: Orang miskin menghabiskan duit mereka dan menyimpan apa yang tinggal. Orang kaya menyimpan duit mereka dan menghabiskan apa yang tinggal.

Menurut satu riwayat, dua puluh tahun yang lalu, ada dua orang yang menerima gaji RM1000 sebulan setiap seorang, dan memperoleh kenaikan gaji yang sama selama ini. Seorang daripada mereka mempunyai falsafah membelanjakan duit dan menyimpan apa yang tinggal, manakala seorang lagi mempunyai falsafah menyimpan duit dan membelanjakan apa yang tinggal. Hari ini, jika anda kenal kedua-dua mereka, anda akan panggil mereka seorang tu miskin dan seorang lagi kaya.

Jadi ingatlah, dengan memberi, melabur dan menyimpan seperti mana-mana juga bentuk disiplin, mempunyai kesan yang sangat kecil pada awalnya. Pada setiap akhir minggu, bulan dan tahun, anda mungkin tidak nampak apa-apa. Hanya selepas lima tahun baru anda terasa perbezaannya. Pada akhir 10 tahun, perbezaannya sangat dramatik!

Perasan tak yang ia bermula dengan amaun duit yang sama – hanya perbezaan falsafah.

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz