30 Tips Hebat Untuk Menyimpan Duit Yang Anda Boleh Mulakan Sekarang

30 Tips Hebat Untuk Menyimpan Duit Yang Anda Boleh Mulakan Sekarang

Tidak kira di mana pun anda berada di dalam perjalanan membetulkan situasi kewangan peribadi anda, anda perlu tahu yang sesiapa pun boleh lakukannya. Kadang-kala apa yang diperlukan hanyalah langkah pertama ke arah yang betul supaya semuanya berpihak kepada anda. Tetapi, macam kebanyakan perkara, kadang-kadang langkah pertama itulah yang paling sukar.

Itulah sebabnya saya membuat senarai 30 cara untuk anda mulakan menyimpan duit hari ini. Tidak ada satu pun teknik yang tersenarai boleh mengubah hidup anda dengan sendirinya, tetapi jika anda melakukan lebih dari satu teknik, ia dapat memberikan perubahan untuk jangka masa panjang. Ada antara cadangan ini hanya akan ambil masa beberapa minit, sementara yang lainnya perlukan lebih usaha. Namun, ianya sangat mudah – sesiapa pun boleh melakukannya.

Sudah tentunya tidak semua tips ini sesuai untuk setiap semua orang. Baca senarai ini dan cari 5-10 tips yang sesuai dengan anda dan lakukannya dalam hidup anda. Apabila anda berbuat begitu, anda akan ketahui dengan cepat yang anda boleh menyimpan duit lebih banyak daripada apa yang anda pernah fikirkan.

30 cara untuk menyimpan duit

(1) Tutup televisyen

Satu cara paling besar yang boleh anda buat untuk menjimatkan duit ialah dengan mengurangkan menonton televisyen. Ada banyak faedah kewangan yang anda boleh dapat dengan menutup televisyen; kurang terdedah dengan iklan yang menyuruh anda berbelanja, mengurangkan bil elektrik bulanan anda, dan lebih masa boleh diluangkan untuk melakukan perkara yang boleh mengubah halatuju hidup anda – seperti membaca buku-buku tentang kewangan peribadi dan pembangunan kendiri.

Nak lagi best? Batalkan langganan kabel ASTRO anda dan potong kabel televisyen anda. Saya menjumpai ketenangan apabila menutup televisyen di waktu malam, apabila tidak lagi telinga dan mata ini tercemar oleh bunyi bising televisyen saya.

(2) Hentikan mengumpul, dan mula menjual

Kita pernah terfikir suatu masa dahulu yang kita boleh jadi kaya dengan menjadi pengumpul. Saya pun ingat begitu juga. Semasa saya mempunyai hobi mendengar muzik dengan set “audiophile” saya dahulu, saya sangat suka mengumpul CD muzik dari penyanyi yang jarang didengar dan jarang dijumpai. Namun apabila teknologi berubah dan membuatkan CD muzik tidak lagi relevan pada waktu ini (kerana diganti dengan format MP3), semua CD muzik saya bernilai 70% lebih murah dari harga asal CD tersebut sewaktu saya beli. Sekarang CD tersebut berjaya memenuhi ruang stor saya.

Jika anda terjebak dengan aktiviti menjadi pengumpul, sudah tiba masanya untuk anda menjual kembali harta karun kumpulan anda supaya anda sekurang-kurangnya dapat balik sedikit duit yang anda telah belanjakan. Mudah.my ialah sebuah website tempatan yang amat bagus untuk anda lupuskan barangan yang anda tidak lagi perlukan. Jika anda rasa susah untuk berpisah dengan barangan anda, cuba tanya balik diri anda: adakah barangan tersebut selaras dengan impian dan matlamat hidup anda?

(3) Tuliskan senarai sebelum pergi membeli-belah dan IKUT!

Cara paling mudah untuk anda menjimatkan duit ialah dengan membuat senarai sebelum pergi membeli-belah. Ini kerana, dengan tidak mempunyai senarai, adalah amat mudah untuk anda berbelanja sesuka hati dan membeli barang yang tidak dirancang – ini akan menyebabkan duit anda melayang.

Membuat senarai barangan dapur yang hendak dibeli adalah sangat penting. Senarai tersebut bukan sahaja membolehkan anda membeli mengikut pelan pemakanan anda, ia juga dapat mengelakkan anda dari membeli makanan yang mungkin anda bazirkan. Ia juga boleh mengelakkan anda dari kelupaan dan perlu kembali ke kedai untuk membeli barang yang lupa. Senantiasa buat senarai, dan yang lebih penting, IKUT!

(4) Jangan bazirkan duit untuk menghiburkan anak-anak anda

Kebanyakan kanak-kanak, terutamanya yang kecil, amat mudah untuk dihiburkan dengan begitu murah. Ajar mereka buat layang-layang. Main bola di halaman rumah. Main buih sabun. Pergi ke taman permainan kanak-kanak kawasan perumahan anda. Tanam pokok bunga. Ajar mereka menaiki basikal tanpa roda sokongan sehingga berjaya.

Sedarlah yang anak-anak kita mahukan masa yang kita ada, bukannya benda. Apabila saya mula menyedari perkara ini, saya lebih tumpukan hari minggu saya untuk diluangkan bersama anak-anak saya di taman permainan, berbanding membawa mereka ke kompleks membeli belah. Jika anda fahami ini, anda akan dapati lebih banyak duit dapat disimpan, dan lebih banyak kegembiraan dan kasih sayang anda dengan mereka di dalam hati anda.

(5) Bersihkan almari baju anda

Cuba semak almari baju anda dan cari apa sahaja dan semua sekali pakaian yang anda tidak lagi gunakan. Tidak pelik jika kita baru sedar yang kita ada sehelai baju yang masih baru, kerana ia baru dipakai sekali sahaja, tetapi kita tidak suka dengan fabriknya.

Ini adalah antara perkara yang boleh anda lakukan dengan pakaian tersebut; jual di Mudah.my atau jual di jualan lapangan atau “car boot sale” tempatan anda ataupun dermakan sahaja dengan badan amal kebajikan yang perlukannya. Dengan cara ini, anda boleh menukarkan pakaian yang anda tidak gunakan lagi dengan duit. Bukan itu sahaja, anda berjaya mengurangkan beban psikologi minda anda apabila berjaya mengurangkan isi almari anda.

(6) Jauhi restoran makanan segera

Memang tidak dinafikan, restoran makanan segera merupakan satu jalan penyelesaian mudah untuk kebanyakan dari kita yang sibuk bekerja dan tidak punya masa untuk memasak. Namun, penyelesaian tersebut menyebabkan kita terpaksa berbelanja lebih untuk makan. Apa yang boleh kita lakukan di sini ialah mungkin kurangkan kunjungan ke restoran-restoran tersebut, dan mula belajar untuk memasak. Anda mungkin boleh belajar bagaimana hendak menyediakan menu makan malam setiap malam untuk minggu berikutnya dengan menyediakan bahan-bahan mentah pada hari Ahad sebelumnya. Makanan yang anda sediakan bukan sahaja berkhasiat, malah lebih murah berbanding makanan di restoran tersebut.

(7) Berhenti merokok

Sehingga sekarang, saya masih belum jumpa satu pun faedah kesihatan dalam merokok. Jika anda seorang perokok, anda sudah semestinya tahu yang merokok bukan sahaja mahal, malah juga membahayakan kesihatan. Jika anda ingin panjangkan hayat hidup anda dan simpan duit dengan banyak, anda sepatutnya berhenti merokok sekarang. Pergi jumpa dengan doktor. Pergi ke farmasi dan tanya apakah rawatan penggantian rokok yang ada. Buatlah apa sahaja yang anda rasa mampu, kerana hidup anda lebih baik tanpa rokok.

(8) Tutup lampu

Membiarkan lampu di rumah anda hidup mungkin tidak kelihatan mahal jika dikira mengikut watt, namun kosnya pasti akan bertambah jika dibiarkan untuk jangka masa yang lama. Untuk menjimatkan bil elektrik anda, tutupkan lampu setiap kali anda keluar rumah, mungkin juga keluar dari bilik. Tutup pendingin hawa, yang mana kosnya setiap watt jauh lebih tinggi daripada lampu. Tutup semua suis televisyen, radio, komputer dan kipas. Secara ringkasnya, jika anda tidak gunakan alatan elektrik, tutup suisnya.

(9) Tukar lampu anda kepada CFL atau LED

Mentol jimat tenaga elektrik mungkin mempunyai kos yang tinggi pada mulanya, tetapi ia mempunyai jangka hayat yang lebih lama dari mentol biasa dan meggunakan tenaga elektrik yang jauh lebih rendah. Mungkin sukar untuk anda memilih mentol yang mana handak digunakan, namun kedua-dua jenis mentol ini adalah penaik tarafan yang bagus untuk anda.

CFL, yang menggunakan hanya satu perempat tenaga elektrik berbanding mentol biasa dan selalunya boleh bertahan bertahun-tahun. Tetapi ia juga mempunyai beberapa kelemahan: Ia mengambil masa yang lama untuk panas dan cerah sepenuhnya dan ia juga mengandungi sejumlah kecil merkuri.

Sementara itu, LED adalah lebih mahal. Walaubagaimanapun, ia semakin murah sekarang, dan ia merupakan pilihan lampu terbaik: Ia menyala serta-merta, secekap CFL, mengeluarkan cahaya yang hangat dan tidak panas waktu disentuh dan boleh bertahan beberapa dekad.

(10) Beli barangan berkualiti tinggi supaya tahan lama

Adalah amat berbaloi masa yang anda luangkan untuk melakukan sedikit penyelidikan sebelum membeli barangan elektrik yang baru. Mesin basuh dan pengering yang boleh dipercayai dan jimat tenaga mungkin mempunyai kos yang agak tinggi sekarang, tetapi jika ia terus menjimatkan tenaga dan boleh bertahan untuk 15 tahun dan bukannya 5 tahun, sudah tentu akan menjimatkan duit anda untuk jangka masa panjang.

Apabila sudah tiba keperluan membeli perkakasan elektrik, buat sedikit kajian dari Laporan Pengguna di internet. Satu jam kajian mungkin boleh menjimatkan beratus-ratus ringgit.

(11) Berhenti guna kad kredit

Jika anda mempunyai tabiat yang memberikan anda masalah dengan kad kredit, sembunyikan kad kredit anda dan letakkan di tempat yang selamat dalam rumah anda, bukannya di dalam dompet anda. Tetapi jika anda simpannya untuk kegunaan kecemasan, ia tidak mengapa. Cuma jangan bawa kad kredit tersebut bersama-sama anda. Jika anda sering terdorong untuk menggunakannya, simpan kad kredit anda “jauh dari pandangan dan keluarkan dari fikiran” mungkin boleh membantu. Bekukan kad kredit anda di dalam ruang sejukbeku peti ais rumah anda.

(12) Bandingkan harga barangan

Sebahagian besar dari kita mempunyai rutin membeli-belah di kedai runcit atau pasaraya yang sama, dan mungkin kita tidak sedar kita tidak mendapat tawaran yang terbaik. Mujurlah ada cara mudah untuk anda mencari tempat yang paling murah. Tentukan 20 barangan yang paling kerap anda beli setiap bulan dan belilah barangan tersebut di beberapa kedai. Pada akhirnya, akan ada satu kedai yang memberikan tawaran terbaik untuk perbelanjaan anda. Jadikan kedai atau pasaraya tersebut destinasi membeli-belah kebiasaan anda, dan anda pasti dapat menjimatkan duit.

(13) Batalkan keahlian kelab yang tidak digunakan

Adakah anda membayar banyak duit kepada keahlian kelab-kelab yang anda jarang gunakan? Sebagai contohnya, keahlian kelab gymnasium atau keahlian kelab golf. Jika anda berada di atas pagar tentang keahlian kelab tersebut dan mendapati anda jarang menggunakannya, batalkan sahaja. Ingat, anda sentiasa boleh memperbaharui keahlian pada masa akan datang sekiranya anda rasa ketinggalan.

(14) Membeli belah selepas perayaan

Kebanyakan orang menggunakan teknik ini untuk Krismas, tetapi ia juga boleh digunakan untuk apa juga perayaan. Tunggu kira-kira dua hari selepas perayaan tersebut, kemudian keluarlah membeli belah untuk barangan yang anda perlukan. Dapatkan kertas pembalut, kad, pembalut hadiah dan beg hadiah selepas Krismas. Diskaun selalunya agak besar, dan anda boleh simpannya di dalam almari untuk tahun hadapan.

(15) Sertai program sukarelawan setempat

Sukarelawan adalah cara terbaik untuk bertemu kawan-kawan baru, mendapatkan beberapa latihan, dan melibatkan diri dalam projek yang positif yang boleh menaikkan semangat anda. Ia juga datang tanpa kos kepada anda dan dapat memberikan anda banyak hiburan dan hari yang bermakna jika anda berada di dalam pemikiran yang betul.

Sukarelawan

Saya telah mula menghabiskan masa untuk program sukarelawan ini, berkhidmat dengan beberapa jawatankuasa dan kumpulan masyarakat. Ia adalah satu perkara terbaik yang pernah saya lakukan.

(16) Cuba item generik

Daripada mengambil item jenama yang biasa anda beli dan gunakan, cuba gunakan jenama pasaraya atau versi generik item tersebut. Anda boleh menjimatkan beberapa sen sekarang, dan anda juga mendapati bahawa jenama kedai adalah sebagus jenama yang mempunyai nama – selalunya, satu-satunya perbezaan antara kedua-duanya adalah teknik pegiklanan, yang mana saya tidak lagi mahu untuk membayarnya. Apabila anda sudah biasa dengan item generik, anda akan mendapati bil runcit biasa anda akan mengecil.

(17) Sediakan makanan di rumah

Dapatkan buku masakan yang mudah untuk digunakan dan cuba buat beberapa hidangan dari dalamnya. Anda akan dapati memasak di rumah adalah lebih mudah dari apa yang anda fikirkan – dan cara yang lebih murah dan sihat berbanding makan di luar.

(18) Bertukar kepada insurans bertempoh

Sila ikut saya: insurans bukan satu pelaburan. Jika anda terjebak dalam polisi hayat keseluruhan yang mahal, tukar kepada insurans bertempoh yang murah dan gunakan perbezaan kos tersebut untuk keluarkan diri anda dari belenggu hutang dan mula membina beberapa kekayaan.

Polisi universal dan polisi hayat keseluruhan adalah lebih mahal dan menawarkan peluang pelaburan di bawah par. Dalam hampir setiap kes, adalah lebih baik untuk anda mengambil polisi insurans bertempoh yang murah dengan lebih banyak duit di dalam poket anda.

(19) Jauhi pusat membeli-belah

Pusat membeli-belah mungkin satu tempat yang bagus untuk melihat gelagat manusia, tetapi juga ia penuh dengan godaan. Itulah sebabnya anda perlu mengelakkan pusat membeli-belah melainkan anda benar-benar perlu untuk membeli sesuatu.

Percayalah, “window shopping” sewaktu anda melakukan bajet adalah satu penyiksaan. Kurangkan beban pada diri anda dan cari sesuatu yang berlainan apabila anda memerlukan hiburan. Tonton filem yang bagus atau berjalan kaki, berjogging di luar dengan mudah boleh menggantikan pengembaraan anda di pusat membeli belah.

(20) Kuasai peraturan 10-saat

Setiap kali anda mengambil sesuatu item dan memasukkannya ke dalam troli untuk membawanya ke kaunter, berhenti selama 10 saat dan tanya diri, mengapa anda membelinya dan sama ada anda benar-benar perlukannya atau tidak. Jika anda tidak dapat memberikan satu jawapan yang baik, letakkan balik ke tempatnya semula. Cara ini dapat mengelakkan saya daripada membuat belian mengejut secara konsisten.

(21) Bawa bento makanan tengahari ke tempat kerja

Daripada pergi keluar untuk makan di tempat kerja, bawa bekal makan tengahari anda sendiri – jika tidak dapat bawa setiap hari, sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu. Dengan beberapa persiapan yang bernas dan hanya beberapa minit, anda boleh buat sesuatu yang agak menyeronokkan untuk bekal (bento) makan tengahari anda – dan menyimpan duit anda setiap kali anda lakukannya. Rakan sekerja anda mungkin tidak memahami keinginan anda untuk menjimatkan duit, tetapi itu masalah mereka.

(22) Pamkan tayar anda

Untuk setiap dua PSI tekanan udara di bawah tahap yang disyorkan di dalam tayar anda, anda kehilangan 1% di atas perbatuan (milage) minyak anda. Tayar kereta kebanyakan orang adalah 5 hingga 10 PSI di bawah tahap normal, jadi ini bermakna hanya dengan mengepam tayar anda, anda boleh menigkatkan perbatuan minyak anda sehingga 5%. Ia juga mudah. Hanya baca manual kereta anda untuk melihat berapakah tekanan tayar yang disyorkan. Selalunya maklumat tersebut terlekat pada sisi pintu kereta sebelah pemandu. Kemudian pergi ke stesen minyak dan pam sehingga aras yang disyorkan.

(23) Reka “bebola salji hutang” (debt snowball)

Setiap orang perlukan pelan untuk membantu mereka keluar dari hutang, jadi duduk dan rancanglah hutang mana yang anda ingin selesaikan dan yang mana dahulu. Dengan adanya perancangan, ia akan memudahkan untuk anda lakukannya dan membayar hutang dengan cepat adalah satu cara paling pasti untuk meletakkan duit di dalam poket anda dalam jangka masa panjang.

(24) Pergi ke perpustakaan

Jangan lihat perpustakaan sebagai tempat hanya untuk meminjam buku. Lihat perpustakaan sebagai satu tempat yang bebas untuk anda lakukan pelbagai perkara. Anda boleh gunakkannya untuk belajar bahasa asing, berjumpa dengan orang, menggunakan internet, menonton filem dan CD, membaca suratkhabar tempatan dengan percuma dan mengetahui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan setempat. Dan yang bagusnya, ia percuma.

(25) Jangan memecut

Memandu dengan laju bukan sahaja mengurangkan kecekapan bahan api kereta anda, ia juga boleh menyebabkan anda disaman. Memandu dengan mematuhi had laju adalah lebih menjimatkan, mengurangkan penggunaan bahan api, dan mengelakkan anda disaman.

(26) Baca lebih buku

Membaca adalah satu hobi yang paling murah dan paling bermanfaat. Kebanyakan bandar-bandar besar mempunyai sebuah perpustakaan awam yang disediakan untuk orang ramai. Pergilah ke sana dan carilah buku-buku yang boleh menarik perhatian anda. Pinjam beberapa buah buku, bawa balik dan bacalah di ruangan yang selesa dalam rumah anda.

Anda akan belajar sesuatu yang baru, meningkatkan keupayaan membaca anda, menggembirakan diri sendiri tanpa perlu menghabiskan satu sen pun.

(27) Batalkan kabel atau siaran satelit yang anda tidak tonton

Ramai orang yang melanggan ASTRO sering membayar pakej premium yang mereka benar-benar tidak perlu. Untuk satu jangkamasa yang lama, saya telah melanggan HBO, Starz dan Cinemax, tetapi dalam sebulan, mungkin sekali sahaja yang saya betul-betul menontonnya. Saya berfikir bahawa adalah berbaloi kerana kita boleh menonton filem atau drama yang hebat setiap kali saya mahu, tetapi rupanya adalah jauh lebih murah kalau saya hanya membayar untuk cerita yang saya ingin tonton. Dengan membatalkan siaran satelit sebegini membolehkan anda menambah duit di dalam poket anda.

(28) Buat lebih senaman

Pergi ke luar untuk berjalan kaki atau berjoging setiap petang, amalkan senaman regangan, atau ambil bahagian dalam senaman otot ringan di rumah. Senaman ini boleh dilakukan di dalam rumah secara percuma dan boleh membawa manfaat yang besar kepada kesihatan anda. Cuma peruntukkan sedikit masa setiap hari untuk melakukan beberapa senaman, badan dan dompet anda akan mengucapkan terima kasih.

(29) Bayar bil secara online

Ada dua tujuan membayar bil secara online. Pertama, ia membolehkan anda sentiasa berhubung dengan duit anda lebih dekat. Ini kerana anda boleh memantau baki di dalam akaun bank anda dan boleh mengelakkan anda dari melakukan transaksi berlebihan. Kedua, ia menjimatkan masa dan tenaga anda untuk keluar ke bank untuk urusan yang sama. Malah ia juga boleh menjimatkan anda dari membayar cukai setem ke atas cek dan yuran bank.

(30) Jangan putus asa

Setiap kali perjuangan menentang hutang berasa seperti terlalu berat, bacalah blog kewangan peribadi dan ingatlah bahawa terdapat ramai orang di luar sana yang mempunyai perjuangan yang serupa. Bacalah artikel di dalam arkib blog dan mula belajar beberapa perkara baru – anda mungkin mendapat inspirasi untuk meneruskan perjuangan, tak kira apa juga yang berlaku.

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz