31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda

31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda

Pengenalan

31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda adalah satu aktiviti bersiri selama sebulan yang akan membolehkan anda memperbaiki status kewangan anda dengan memusatkan situasi kewangan anda dengan nilai teras anda sendiri. Daripada membekalkan anda dengan selonggok lembaran bajet dan meminta untuk anda memaksa diri ke dalam satu program khusus, program ini adalah tentang mencari apa yang anda inginkan daripada kehidupan anda dan mengenalpasti situasi kewangan peribadi anda supaya anda boleh mencapai impian tersebut.

Setiap ativiti di dalam siri ini direkabentuk untuk mengambil masa lebih kurang satu jam, jadi anda boleh melakukan satu aktiviti setiap hari dan mengisi satu bulan ini penuh dengan aktiviti. Sudah tentunya anda boleh melakukan sebanyak mana langkah mengikut keinginan anda, tetapi selalunya berbaloi untuk anda meluangkan satu hari suntuk jarak antara aktiviti supaya anda mempunyai masa untuk memahami apa yang ia ajarkan – dan apa yang ia maksudkan kepada anda.

Pelan ini telah ditulis pada bulan Januari 2007 dan pada asalnya telah ditulis di The Simple Dollar (http://www.thesimpledollar.com). Jika anda inginkan nasihat kewangan peribadi tentang apa juga topik, The Simple Dollar ialah tempat yang bagus untuk mula.

Pelan ini dipecahkan kepada lima bahagian utama, atau peringkat:

Peringkat 1: Menentukan matlamat dan nilai-nilai anda

Cabaran asas kebanyakan orang dengan situasi kewangan peribadi mereka adalah bahawa mereka melihat duit sebagai satu entiti yang berasingan dari seluruh kehidupan mereka. Duit adalah antagonis, musuh yang sentiasa menghalang anda daripada melakukan apa yang anda mahu lakukan. Yang sebenarnya duit hanyalah alat, dan apabila anda mendapati diri anda menganggap duit adalah antagonis, tidak ada bezanya dengan orang yang cuba untuk belajar menggunakan pedang yang berat; ia susah dikawal dan agak bahaya.

Langkah pertama ialah belajar bagaimana mengintegrasikan duit ke dalam hidup anda dan menggunakan dengan jayanya sebagai satu alat untuk mengetahui apa sebenarnya yang anda ingin bina dengan alat itu. Tanpa nilai-nilai asas kehidupan, matlamat dan rancangan, tiada bezanya duit dengan menghayun tukul besi tak tentu arah tanpa membina sesuatu. Oleh itu, peringkat pertama ini adalah sangat penting: apakah sebenarnya yang paling penting kepada anda, dan apakah yang diperlukan untuk menyokong secukupnya nilai-nilai teras dalam kehidupan anda?

Peringkat 2: Menilai keadaan semasa anda

Sebaik sahaja anda telah menemui apa yang penting di dalam hidup anda, sekarang adalah masa untuk anda mengambil serius dengan apa yang bakal anda kerjakan. Berapa banyakkah pendapatan yang anda buat, dan berapa banyakkah masa yang anda habiskan untuk melakukannya? Ini seolah-olah satu soalan yang mudah, tetapi sebenarnya tidak. Berapa banyakkah pendapatan anda yang perlu dibelanjakan untuk mengekalkan pekerjaan anda, melalui pengangkutan, pembangunan kerjaya, pakaian dan sebagainya? Dan berapa banyakkah masa yang anda gunakan untuk melakukan perkara-perkara yang dikhaskan untuk kerja anda, seperti pergi ke tempat kerja, pulang ke rumah dari tempat kerja, menghadiri majlis-majlis yang berkaitan dengan kerja anda dan sebagainya?

Apabila anda mengira angka-angka baru ini, anda mungkin terkejut pada berapa banyak masa yang anda benar-benar habiskan untuk bekerja dalam seminggu dan betapa kecilnya pendapatan yang anda peroleh. Anda boleh mengambil perkara utama ini dengan jelas dengan mengira angka yang akan kita gunakan sepanjang bulan ini, gaji sebenar setiap jam anda. Berapa banyakkah yang anda benar-benar hasilkan bagi setiap jam anda habiskan untuk kerja anda? Ia mungkin tidak pun hampir dengan apa yang anda fikirkan, dan itu sahaja mungkin mengejutkan anda untuk mencuba beberapa pilihan yang berbeza.

Peringkat 3: Membina bajet kehidupan anda sendiri, bukan mengikuti preskripsi orang lain

Sebaik sahaja anda telah melihat dengan jelas pada berapakah pendapatan yang anda benar-benar hasilkan, anda bolehlah mula untuk mewujudkan kerangka asas bagaimana untuk membelanjakan duit yang selari dengan matlamat peribadi anda. Ini bukannya soal mencetak lembaran kerja dan cuba untuk memasukkan anda ke dalam ruang yang orang lain telah ciptakan untuk anda, tetapi ini adalah tentang menentukan bagaimana anda membelanjakan duit dan bekerja dari situ.

Adalah hampir tidak adil untuk merujuk perkara ini sebagai “belanjawan”, kerana belanjawan selalu membawa bersamanya beberapa konotasi yang sangat buruk, seperti memakai sepasang sut yang tidak selesa. Proses ini adalah lebih seperti pergi ke tukang jahit, yang meletakkan anda sebagai asas untuk membina sepasang sut khas yang sesuai dengan anda. Proses ini akan membuat anggaran khas yang sesuai dengan kehidupan anda dengan nilai-nilai dan matlamat anda sebagai asas. Kita tidak bercakap tentang menyekat anda untuk membelanjakan $20 sebulan untuk “perbelanjaan makanan”, tetapi sebaliknya mewujudkan struktur di mana anda boleh membuat keputusan yang sesuai kerana anda boleh lihat bagaimana ia berkaitan secara langsung dengan impian anda.

Peringkat 4: Melihat ke dalam kehidupan anda, satu persatu

Apabila anda telah mendapat bajet asas bersama anda, adalah sangat berbaloi sekiranya anda meluangkan masa untuk menilai dengan teliti angka-angka yang ditunjukkannya dan melihat jika terdapat mana-mana tempat yang mempunyai “lemak” berlebihan – dan cubalah untuk mengurangkannya. Anda sudah letih membayar bil insurans hayat? Mungkin anda tidak perlukannya sama sekali – atau anda boleh menukar kepada sesuatu yang lebih murah. Menerima peringatan berkali-kali tentang bayaran bank? Lihatlah apa yang mereka caj dan lakukan sesuatu mengenainya. Caj kewangan kad kredit memakan anda hidup-hidup? Terdapat beberapa cara mudah untuk mengurangkannya.

Kita sedang mencari cara-cara untuk mengurangkan “lemak” (perkara yang membuat anda rasa tidak selesa apabila melihatnya) supaya “daging” (matlamat, impian dan nilai-nilai murni anda) mempunyai ruang untuk berkembang maju. Anda tidak perlu hentikan tabiat harian meminum kopi latte anda jika ia bole memberikan anda kegembiraan – hanya cari perkara-perkara yang anda boleh tinggalkan atau anda boleh kurangkan tanpa rasa perit dan anda akan mempunyai duit untuk mengejar impian anda.

Peringkat 5: Menetapkan peringkat untuk kejayaan sepanjang hayat

Dengan lengkapnya pakej yang datang bersama-sama ini sekarang, terdapat beberapa kaedah asas yang boleh dibuat untuk mengekalkan momentum. Apa yang anda lakukan dengan “lemak” yang telah dikurangkan? Bagaimana anda menjejaki semua maklumat kewangan anda supaya ia tidak huru-hara dan boleh difahami? Bagaimana anda memastikan bahawa anda tidak terjerat di dalam hutang berulang kali? Bagaimana anda mengekalkan perkara yang baik ini secara berterusan?

Jika anda mengikuti pelan ini dan menyimpan prinsip-prinsip ini di dalam fikiran, anda dengan mudah boleh mencapai impian anda. Ini semua terpulang kepada anda, dan ia hanya mengambil masa satu jam sehari selama sebulan untuk melakukan perkara ini.

Bolehkah saya kongsi dokumen ini dengan orang lain?

Dipersilakan dengan apa cara sekalipun, kirimkan dokumen ini dengan percuma kepada sesiapa sahaja yang mungkin dapat anda bantu. Jika anda ingin berterima kasih kepada penulis, anda boleh menghantar bayaran ikhlas sebanyak $2 melalui Paypal kepada trent@thesimpledollar.com, tetapi adalah lebih baik jika anda mengedarkan karya ini secara percuma. Jika anda ingin untuk menyiarkan PDF ini di laman web anda sendiri, anda boleh berbuat demikian, selagi anda menyertakan pautan ke http://www.thesimpledollar.com di laman yang sama.

Saya sedang mengubah kehidupan kewangan peribadi saya sekarang, tetapi saya perlukan lebih banyak sokongan. Tolonglah saya!

Jika anda telah membaca dokumen ini dan sedang mencari lebih banyak jawapan dalam mengubah kehidupan kewangan peribadi anda, sila layari http://www.thesimpledollar.com. Laman web yang sarat dengan nasihat kewangan peribadi mengenai topik-topik yang tidak terkira banyaknya dan dikemaskini beberapa kali sehari. Jangan ragu untuk berinteraksi, carilah topik yang anda perlukan nasihat dan tanyakan soalan.

Jika anda lebih suka membaca di luar talian dengan buku di tangan anda, cadangan terbaik saya ialah kepada sebuah buku yang bertajuk Your Money or Your Life: 9 Steps to Transforming Your Relationship with Money and Achieving Financial Independence: Revised and Updated for the 21st Century oleh Joe Dominguez dan Vicki Robin. Ia adalah sebuah buku yang paling bagus pernah saya baca dan satu-satunya buku yang memberikan saya inspirasi dan membantu saya untuk memperbaiki kewangan peribadi saya.

Cukuplah dengan pengenalan. Mari kita mulakan.


Program 31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda ini saya alih bahasakan dari penulis asal berbahasa Inggeris, Trent Hamm dari website The Simple Dollar. Setelah mendapat ilmu dan ilham dari beliau, saya mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman saya menggunakan teknik yang beliau sarankan untuk mencapai impian saya. Semoga ia dapat membantu merealisasikan impian anda juga.

Saya mencadangkan untuk anda luangkan masa setiap hari, sekurang-kurangnya satu jam untuk 31 hari berikutnya, kerana ia akan mengubah halatuju kehidupan kewangan peribadi anda. Sudah tiba masanya untuk anda ambil langkah pertama mengubah masa depan anda. Semoga berjaya!

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz