Kedai online

5 Langkah Bagaimana Nak Jual Barang Di Mudah.my

Ok. Tips ini bukannya untuk mereka yang nak buat duit untuk jadi kaya raya, tetapi lebih kepada mereka yang nak buat duit dengan barangan yang tidak lagi digunakan di dalam rumah kita. Bolehlah kita dapatkan sedikit duit dari “junk” yang sudah lama mengumpul habuk di dalam rumah dan tidak lagi memberi nilai dan kepuasan kepada kita. Tips menjual di Mudah.my ini lebih untuk mereka yang:

  1. Mungkin kesempitan duit dan perlukan tunai yang cepat. Bulan masih muda, tapi disebabkan adanya perbelanjaan yang tidak dijangka, maka duit yang sudah dibajet terpaksa digunakan.
  2. Mungkin dah bosan dengan hobi yang ada, atau juga hobi tersebut terlalu banyak gunakan duit. Dahulu hobi saya ialah menyelam SCUBA. Siap beli set regulator, mask, fins dan wetsuit sendiri. Jumlah duit yang telah dibelanjakan lebih kurang RM5000. Walaupun tempat menyelam Pulau Mamutik dekat dengan rumah, namun, kos untuk pergi menyelam agak mahal jika dilakukan setiap minggu. Malah hobi ini juga perlukan saya untuk meluangkan masa sehari suntuk untuk menyelam.
  3. Mungkin juga nak bertukar hobi. Oleh kerana menyelam SCUBA memerlukan saya membelanjakan duit yang banyak, maka saya pun bertukar hobi kepada berlari. Jadi, saya jualkan set regulator MARES saya di Mudah.my dan gunakan duitnya untuk membeli jam tangan GPS.
  4. Mungkin juga nak kurangkan semak yang ada di dalam bilik tidur, dapur, bilik stor atau mungkin atas almari baju. Dahulu saya pernah terjebak dengan hobi “audiophile”, iaitu mendengar muzik dengan set Hi-Fi yang berharga mahal semata-mata untuk menghayati bunyinya yang sedap didengar. Saya pernah mempunyai sebuah subwoofer 12 inci, sepasang speaker Hi-Fi dan sebuah pemain CD berjenama Marantz yang mana ia telah menghuni stor saya selama lebih 10 tahun kerana tidak ada ruang spesifik untuk saya susun set tersebut dan menemui masa yang sesuai untuk mendengar muzik. Ini juga saya berjaya jual di mudah.my.
  5. Mungkin juga barang yang telah dibeli rupanya tidak ngam dengan kita. Saya pernah membeli sepasang kasut Skechers GoRun Trail dari Amazon.co.uk. Walaupun saiznya ngam dengan kaki saya, namun tapaknya terlalu lembut dan tidak sesuai untuk dibuat berlari di trail. Kasut tersebut membuatkan tapak kaki saya sakit sewaktu berlari (mungkin kena plantar fasciitis). Jadi yang ini pun saya jual di mudah.my.
  6. Mungkin juga nak “upgrade”. Saya pernah gunakan kamera DSLR Nikon D40 dari tahun 2008 sehingga 2014. Pada akhir 2014, kamera tersebut rosak. Sudah banyak laman forum Nikon yang saya rujuk untuk cuba membaikinya sendiri, tetapi gagal. Pilihan lain ialah menghantarnya ke Nikon dealer di Kuala Lumpur, yang mana kosnya mungkin lebih kurang sama dengan sebuah kamera yang baru. Jadi, kamera rosak pun saya jual di mudah.my.

Langkah 1: Cari barangan yang sudah tidak lagi memberikan nilai tambah dalam hidup anda

Pergi masuk stor. Buka almari baju. Pergi periksa almari dapur. Di atas almari. Dalam laci. Bawah katil. Kita mesti pernah terbeli barangan yang kita pakai sekali sahaja selepas kita beli, kemudian simpan. Ada banyak sebab kita buat begitu. Mungkin barang tersebut tak muat. Salah saiz. Tak sedap pakai. Mungkin juga barangan hobi yang tidak lagi memberikan kepuasan. Mainan orang dewasa. Gajet yang tidak lagi digunakan selepas berjaya “upgrade” gajet yang baru. Barangan antik. Pakaian yang sudah tidak lagi muat dengan saiz kita.

Bila jumpa dengan barangan yang tersebut, cuba tanyakan diri sendiri. Adakah barangan tersebut masih memberi nilai kepada kehidupan kita? Adakah barangan tersebut hanya menyemakkan ruang stor kita, mengumpul habuk dan menjadi tempat yang sangat sesuai untuk tikus membiak. Bolehkan kita hidup tanpa barangan tersebut di dalam hidup kita sekarang?

Keluarkan barangan tersebut dan bersihkan. Lapkan habuk. Cuci jika perlu, kerana barangan yang bersih akan memudahkan anda menjual barangan anda.

Langkah 2: Ambil gambar barangan anda dari beberapa sudut berlainan

Ya, ambil gambar barangan anda dari beberapa sudut berlainan. Depan, atas, sisi, belakang dan bawah jika perlu. Pastikan yang barangan tersebut diletakkan di bawah pencahayaan yang baik. Kawasan porch depan rumah anda adalah bagus untuk barangan yang besar, dengan pencahayaan terang pada waktu siang. Untuk barangan yang kecil, di dalam bilik yang cerah dan terang dengan pencahayaan lampu putih. Sebagusnya, pastikan background untuk barangan anda adalah cerah seperti putih, krim atau biru muda. Ini akan menonjolkan barangan anda di dalam iklan. Sebaiknya lagi, jangan gunakan flash. Pencahayaan natural adalah lebih menarik.

Selepas mengambil beberapa gambar barangan anda, pilih 3 gambar terbaik. Ambil gambar menggunakan handphone anda pun sudah cukup bagus. Gambar yang anda ambil ini akan diuploadkan ke dalam website Mudah.my untuk dilihat oleh bakal pembeli barangan anda.

Langkah 3: Upload gambar dan tuliskan dengan lengkap butir-butir barangan yang hendak anda jual

Tentukan kategori barangan yang anda hendak jual. Contohnya, jika anda ingin menjual kasut anda yang sudah tidak lagi muat saiznya, klik pada Category > Home & Personal Items > Shoes. Tentukan butiran mengenai kasut tersebut, untuk lelaki atau perempuan, saiz, warna dan berapakah harga yang anda sanggup jualkan. Selalunya masyarakat kita Malaysia ini akan cuba untuk tawar-menawar harga barangan kita. Tentukan juga samada ia adalah transaksi tunai atau bank in, dan jika pembeli dari tempat yang jauh, adakah kita sanggup untuk mengepos barangan tersebut. Masukkan anggaran kos Poslaju sekiranya anda ingin mengepos barangan anda.

Langkah 4: Uruskan proses jual beli sekiranya ada pembeli yang sudah bersetuju

Kemungkinan akan ada lebih dari dua atau tiga orang yang akan hubungi kita untuk brangan yang kita iklankan di Mudah.my jika barangan kita agak popular. Kamera DSLR dan handphone adalah antara barang yang senang saya jual. Walaupun rosak, kamera Nikon D40 saya dibeli bukan kerana pembeli ingin membaiki kamera tersebut, tetapi pembeli ingin mengambil komponen dalaman kamera tersebut untuk kameranya yang rosak.

Jika pembeli ingin membayar tunai, setkan masa untuk berjumpa dan bawa barangan anda bersama. Peratusan untuk pembeli amat tinggi sekiranya mereka boleh memegang dan melihat secara dekat barangan yang anda ingin jual. Jika pembeli tidak dapat berjumpa kerana berada di tempat yang jauh, sediakan pakej penghantaran produk tersebut, sebaik-baiknya dengan Poslaju setelah pembeli memasukkan duit ke dalam akaun bank anda untuk bayaran. Jangan lupa untuk beri nombor tracking Poslaju kepada pembeli. Saya berjaya menjual regulator selam MARES saya dengan cara ini.

Langkah 5: Berhati-hati dengan bakal pembeli luar negara

Saya pernah dihubungi beberapa kali melalui email daripada negara di benua Afrika, yang kononnya mereka ingin membeli barangan saya dan memerlukan saya untuk mengeposnya ke negara mereka. Mereka akan menggunakan alamat email yang hampir serupa, dengan permintaan nombor akaun bank saya, kononnya mereka akan memasukkan duit tersebut ke dalamnya. Mula-mula saya melayannya, tetapi lama kelamaan saya merasakan ada yang tidak kena dengan cara mereka berurusan. Apabila saya mengadukan hal ini kepada mudah.my, barulah saya tahu yang ini semua “scam”. Nasib baik juga saya tidak terjebak. Saya sudah hampir ingin mencari jalan bagaimana nak poskan barangan saya ke Nigeria!

Lebih baik berurusan dengan pembeli tempatan dari Malaysia, dan mudahkan hubungan dengan membenarkan bakal pembeli menghubungi anda menggunakan Whatsapp dan bukannya email.

Semoga dengan jualan barangan anda tersebut dapat menambah sedikit sebanyak duit anda untuk digunakan sewaktu sesak.

Leave a Reply

8 Comments on "5 Langkah Bagaimana Nak Jual Barang Di Mudah.my"

Leave a Reply

Sort by:   newest | oldest | most voted
nurnona
Guest

Bahaya ke klu diorg tahu no acc bnk kita

Mohd
Guest

Bagaimana pula kalau yang suruh bayar untuk activation fee.. Betol ke tu sume cam caya jer..

saiful
Guest

Jual barang tak bahaya, cuma nak membeli tu agak bahaya la dalam mudah ni. Kena hati2

Shamsul
Guest

Sya da cuba buat.. Tp xbleh… Dia nk login pro niaga…

wpDiscuz