30 April mungkin merupakan hari yang paling ditakuti di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai hari terakhir untuk anda memfail dan membayar cukai pendapatan anda. Ramai di antara kita yang bergegas-gegas beberapa hari sahaja lagi sebelum 30 April kerana berusaha keras mengumpul semua dokumen dan resit yang berkaitan untuk difailkan kepada LHDN. Ia seolah-olah satu kitaran ganas yang berlaku setiap tahun.
Jika anda ingin mengubah keadaan ini untuk menjadi lebih tenang, cuba mulakannya lebih awal pada tahun ini.
Tidak terlalu awal sebenarnya untuk kita memikirkan tentang cukai pendapatan walaupun April masih jauh lagi. Dengan memulakannya lebih awal, ia akan membantu anda mengurangkan tekanan yang anda lalui setiap tahun untuk memfailkan cukai. Ia sebenarnya akan memudahkan kerja anda. Terdapat banyak perkara yang anda boleh lakukan sebagai persediaan. Pertimbangkan 5 tindakan ini untuk membantu anda membuat persediaan untuk musim cukai:
(1) Pastikan maklumat peribadi lengkap tersedia
Mengisi maklumat peribadi dengan betul pada borang cukai pendapatan adalah penting. Jika tidak, risiko agak tinggi untuk anda memfailkan cukai pendapatan anda dengan tidak betul. Ia mugkin kedengaran agak mudah dan remeh, tetapi ia adalah kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai orang pada setiap tahun. Dengan adanya sistem e-filing oleh LHDN pada masa ini, kesilapan mengisi maklumat sebegini dapat dikurangkan. Anda perlu mempunyai nombor kad pengenalan anda atau nombor cukai pendapatan anda*, bersama-sama dengan nombor pasangan anda. Anda perlu juga mempunyai rekod bayaran balik cukai tahun lepas sebagai rujukan. Jika anda bekerja dengan seorang akauntan, anda boleh meminta mereka untuk menyemak penyata cukai untuk tiga tahun yang sebelumnya.
*Ini berlaku kepada saya, yang mana saya telah diberikan dua nombor cukai pendapatan yang berlainan. Walaupun salah satu nombor tersebut sudah tidak aktif dari tahun 2012 lagi, tetapi oleh kerana adanya potongan cukai berjadual (PCB) oleh majikan saya yang tersalah masuk ke nombor cukai yang tidak lagi aktif tersebut, saya dikejutkan apabila menerima sepucuk surat dari LHDN mengarahkan saya untuk membayar tunggakan cukai untuk tahun 2012 pada tahun 2016!
(2) Kumpulkan dokumen pendapatan anda
Cebisan yang paling penting di dalam pengurusan cukai pendapatan anda ialah dokumen pendapatan atau penyata pendapatan tahunan anda. Untuk pekerja kerajaan, anda sepatutnya menerima dokumen tersebut dalam borang EC dan untuk pekerja swasta, anda sepatutnya menerima dokumen tersebut dalam borang EA. Anda sepatutnya menerima borang tersebut dari majikan anda pada awal bulan Mac. Jika anda tidak menerima borang tersebut pun, anda masih perlu untuk memfailkan cukai pendapatan anda. Anda juga perlu mengumpulkan semua punca pendapatan lain yang anda telah perolehi dari tahun sebelumnya, seperti pendapatan dari sewa rumah, pendapatan dividen pelaburan dan pendapatan dari bisnes sampingan anda. Kumpulkan juga resit-resit yang boleh di”claim” untuk pelepasan cukai dan juga penyata KWSP anda.
(3) Tentukan bagaimana anda ingin memfailkan cukai pendapatan anda
Sesetengah orang lebih suka untuk memfailkan cukai pendapatan mereka sendiri, tetapi ada juga yang lebih suka untuk bekerjasama dengan seorang yang profesional. Ia sebenarnya bergantung kepada keutamaan anda, dan anda perlu buat keputusan awal. Jika lewat dan masa sudah suntuk, agak sukar untuk anda mendapatkan nasihat dari profesional cukai. Jika cukai anda adalah agak mudah, lebih baik anda failkannya online menggunakan sistem e-filing. Jika anda rasa cukai pendapatan anda agak rumit, silalah buat lawatan ke pejabat LHDN yang terdekat untuk mendapatkan nasihat dari pegawai cukai yang bertugas. Tentukan juga sama ada anda ingin memfailkan cukai pendapatan anda secara sendiri atau bersama pasangan anda.
(4) Kumpulkan resit untuk tuntutan pelepasan cukai
Cukai anda adalah sedikit rumit sekiranya anda seorang kontraktor bebas, ahli perniagaan atau bekerja sendiri. Tetapi jika anda bekerja makan gaji, ada beberapa pelepasan cukai yang anda boleh tuntut dengan syarat anda mempunyai resit untuk perbelanjaan tersebut. Antaranya ialah:
- Perbelanjaan perubatan ibu bapa, terhad RM5000
- Peralatan Sokongan Asas (untuk individu kurang upaya atau untuk isteri, anak atau ibubapa kurang upaya), terhad RM6000
- Yuran pendidikan sendiri, terhad RM5000
- Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati (individu atau suami/isteri atau anak-anak), terhad RM6000
- Pemeriksaan perubatan penuh, terhad RM500
- Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan, terhad RM1000
- Pembelian komputer peribadi untuk individu (sekali setiap 3 tahun), terhad RM3000
- Tabungan bersih dalam skim SSPN, terhad RM6000
- Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan, terhad RM300
- Yuran langganan Jalur Lebar, terhad RM500
- Faedah pembelian rumah. Potongan cukai terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar, terhad RM10,000
- Insuran nyawa dan KWSP, RM6000
- Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda (Deferred Annuity), terhad RM3000
- Insurans pendidikan dan perubatan, terhad RM3000
(5) Tentukan berapa banyakkah yang anda telah bayar untuk cukai pendapatan anda
Sistem Potongan Cukai Berjadual (PCB) adalah salah satu langkah yang dibuat oleh LHDN untuk memudahkan kita sebagai pembayar cukai membayar sejumlah amaun yang telah ditetapkan oleh LHDN daripada pemotongan gaji yang dibuat oleh majikan kita. Setiap tahun akan ada pindaan pada jadual kadar potongan yang perlu dibuat berdasarkan pendapatan bulanan yang kita dapat. Oleh itu, kita sebagai pekerja perlu menyemak, berapa banyakkah potongan yang telah dibuat oleh majikan untuk bayaran cukai pendapatan dan pastikan yang potongan tersebut dimasukkan ke dalam akaun cukai pendapatan kita yang betul. Ini boleh mengelakkan kita dari diberikan notis kerana gagal menjadi rakyat Malaysia yang patuh dengan mengisytiharkan pendapatan kita.
Oh ya. Perlu diingat, walaupun anda telah membayar cukai pendapatan anda melalui PCB, namun anda masih perlu mengira jumlah sebenar cukai pendapatan yang perlu anda bayar, selepas anda menfailkan pendapatan anda. Sekiranya pembayaran cukai dari PCB anda masih kurang dari jumlah keseluruhan cukai pendapatan yang perlu dibayar, anda perlu membayar perbezaan jumlah tersebut. Tetapi jika anda terlebih bayar cukai, pihak LHDN akan membayar balik lebihan cukai yang anda telah bayar.
sangat memberi manfaat
tksh for the info… sy ingin bertanya bagaimana jika suami dah lama bekerja tapi tidak pernah berurusan dgn LHDN selain PCB yang telah sedia dipotong oleh majikan.
Apakah langkah2 awal yang perlu suami saya lakukan sebelum ke LHDN. apakah denda2 yang terlibat dan perkara2 yang perlu disiap sedia.
1 lagi… ikrar cukai pendapatan bersama ‘suami/isteri’ atau perseorangan lebih ok.
Tksh
Puan Fira,
Terima kasih kerana bertanya. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh suami ialah:
1) Sila berurusan dengan majikan untuk mendapatkan penyata pendapatan tahunan. Jika majikan suami ada tolak PCB untuk bayaran cukai ke LHDN, biasanya mereka ada rekod, dan selalunya rekod disimpan selama 7 tahun. Minta majikan untuk cetak Borang EA (pekerja swasta) atau Borang EC (sektor awam). Ini adalah penyata yang perlu ada untuk mudah apabila declare pendapatan dengan LHDN.
2) Taksiran cukai perseorangan atau bersama pula bergantung kepada kita sendiri, yang mana bagus jika boleh berbincang dengan pegawai cukai di LHDN.
Terima kasih.
Saya mempunyai perniagaan sendiri , dan saya mahu daftar income tax .. Adakah saya perlu ke LHDM dan apa dokumen apa yang perlu saya bawa .. Tq
Hello Cik Mimi. Ya, cik perlu pergi ke Pejabat LHDN untuk daftar income tax, dengan membawa dokumen-dokumen perniagaan sendiri cik, seperti lesen perniagaan dan resit-resit jualan.
Macam mana jika dalam 2017 kita berkerja 2 syarikat berlainan. EA form hanya dapat dari 1 syarikat sahaja iaitu syarikat terkini.macam mana untuk mengira total PCB yg telah di potong. adakah perlu berurusan di pejabat LHDN.
Sepatutnya dalam EA form memang telah tertulis jumlah PCB yang telah dibuat oleh majikan. Oleh itu, memang perlu dapatkan EA form dari satu lagi syarikat yang anda belum dapatkan EA form tersebut. Tetapi jika syarikat tersebut tidak membuat PCB untuk anda, maka anda hanya declare PCB dari syarikat yang beri anda EA form.
Pada tahun lalu saya menerima lebih PCB setelah declare cukai 2016 dlm jumlah +- 700, lepas berapa bulan saya tak pasti tarikh, saya telah menerima saya surat dari LHDN, saya perlu membayar cukai 2016 tersebut pada jumlah -+170. masalah sekarang saya belum bayar cukai 2016 yang diminta bayar. Bagaimana atau apa yang perlu dibuat, sedang cukai 2017 ada lebih PCB yg banyak. Adakah cukai 2016 yang perlu dibayar akan ditolak dari PCB lebih 2017. Terima kasih .
Tuan Muhammad Siddeq,
Cukai yang belum dibayar untuk tahun 2016 perlu dibayar di pejabat LHDN dengan membawa dokumen-dokumen berkaitan seperti borang EA dari majikan dan borang BE yang dihantar ke LHDN. Jika tuan tidak maklumkan dengan majikan tentang lebihan bayaran PCB untuk tahun 2017, mereka tidak akan automatik tolong bayarkan cukai tertunggak untuk tahun 2016.
Harap ia dapat membantu.
jika sy sudah berdaftar sebagai pbayar cukai dari tahun 2015 boleh ke saya membuat efilling untuk tahun sebelumnya??? ataupun boleh buat untuk tahun yg latest sahaja??
Hello Wany. Efiling hanya boleh dibuat untuk tahun terkini, iaitu untuk tahun 2018 ini, efiling perlu dibuat untuk tahun 2017. Untuk tahun-tahun sebelumnya, efiling sudah ditutup, tetapi cik boleh declare pendapatan tahun-tahun sebelumnya (yang belum declare) dalam ruang yang disediakan dalam efiling 2017. Harap ia boleh membantu.
Salam saya nak tanya, jika tahun 2017 ada bekerja di 2 tempat dan tempat yg pertama adalah sebagai pekerja kontrak sahaja, jadi tiada EA form manakala di tempat kerja kedua ada EA form. Adakah perlu diambil kira sekali pendapatan yang diterima daripada tempat kerja yang pertama atau letak pendapatan seperti yg tertera di EA form sahaja ?
Waalaikumsalam Kin,
Ya, perlu diambil kira pendapatan yang diterima sewaktu menjadi pekerja kontrak dan jumlahkan dengan pendapatan dari tempat kerja kedua. Baru declare dalam efiling untuk tahun 2017.
berapa jumlah gaji yang wajib membuat pemotongan PCB?
sekiranya tidak membuat potongan PCB akan dikenakan penalti?
Adakah majikan wajib membuat potongan PCB pekerja?
Assalam Siti,
Kalau ikut perkiraan untuk gaji tahun 2017, pendapatan aggregate RM3200 sebulan wajib buat pemotongan PCB. Kalau tidak buat pemotongan PCB selalunya syarikat yang boleh dikenakan tindakan. Oleh itu mereka wajib buat pemotongan PCB untuk pekerja mereka.
Lembaga Hasil Dalam Negeri telah meminta rekod untuk cukai pendapatan 2001, 2002 dan 2003. Sukar untuk mendapatkan semula rekod-rekod tersebut kerana telah melebihi 10 tahun. Apa yang perlu saya lakukan?
Hello Ezza,
Cik boleh cuba berhubung dengan HR department tempat yang cik kerja pada tahun 2001,2002 dan 2003 untuk cuba dapatkan salinan punca pendapatan jika perlu. Dalam kes begini, cik perlu ke pejabat LHDN terdekat untuk berbincang dengan pegawai yang bertugas bagi mendapatkan salinan cukai jika ada.
Salam.nk tny,pelepasan cukai utk tahun 2018 dkira bermula jan 2018 sehingga dis 2018 ke? Atau bermula april 2018-april2019?
Waalaikumsalam Hanim,
Pelepasan cukai untuk tahun 2018 bermula dari Januari hingga Disember 2018.
Tq for d info. Sbnrnya bila sepatutnya kita tunjukkn evidens kpd LHDN utk urusan byrn smula?
Semua resit dan bukti taraksaksi jual beli kita sepatutnya disimpan selama 7 tahun. Ini kerana, LHDN boleh audit akaun kita bila-bila masa yang mereka rasa perlu, dan waktu inilah semua evidens perlu ditunjuukan kepada mereka.
As salam. Nak tanya. Sy ada dapat surat dari LHDN berkaitan declare cukai secara sukarela. Soalan sy, jika sy bekerja sendiri selamani dan xpernah ada apa2 dokumen termasuk lajer keluar masuk belanjawan, mcmane sy nak buat ya?
Waalaikumsalam Syah,
Jika bekerja sendiri, kiraan pendapatan boleh dibuat dengan menyemak penyata akaun bank untuk transaksi keluar masuk duit. Jika tidak ada transaksi keluar masuk duit dari akaun bank, mungkin boleh dikira berapa jumlah pendapatan kasar yang didapati setiap bulan dan kira. Untuk mengetahui jika kita layak unutk membayar cukai atau tidak, sila pergi ke pejabat LHDN berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
salam….
jika saya ingin buat efiling untuk ea form tahun 2017 boleh lg ke?
Waalaikumsalam Aty,
Untuk efiling cukai taksiran 2017 tak boleh hantar melalui online lagi sebab sudah lama tutup. Sila pergi ke pejabat LHDN terdekat untuk berbincang dengan pegawai bertugas bagaimana kira cukai taksiran tersebut dan boleh terus bayar di kaunter. Adalah lebih baik jika dapat membawa semua dokumen penting seperti resit2 yang berkaitan untuk memudahkan kiraan.