5 Sebab Kenapa Kita Rosakkan Kewangan Peribadi Kita

5 Sebab Kenapa Kita Rosakkan Kewangan Peribadi Kita

Kadang-kala kita terbuat tanpa kita sedar. Terlalu ikut emosi. Terpengaruh dengan pujukan kawan-kawan yang merachun. Terpedaya dengan iklan-iklan di FB dan media sosial. Kadang-kadang sengaja juga kita lakukan, kononnya nak jaga status di depan kawan sekerja. Ya, membuat perbelanjaan yang tidak dirancang, itu yang saya maksudkan. Malah, lebih teruk lagi, sampai terpaksa menggunakan kad kredit melebihi kemampuan kita untuk bayar balik dengan cepat. Saya akui, itulah salah satu cara yang pernah saya lakukan untuk merosakkan kewangan peribadi saya.

Itu dulu. Sekarang saya sedar betapa pentingnya untuk tahu dan faham, bagaimana kita boleh rosakkan kewangan peribadi kita, sama ada sedar atau tidak. Bila dikaji semula, rupa-rupanya ada beberapa sebab kenapa kita buat begitu.

(1) Tiada orang yang ajar kita macam mana nak urus kewangan peribadi

Sedar tak, selama kita belajar dari umur tadika sampai habis universiti, tidak ada satu pun sukatan pelajaran “pengurusan kewangan peribadi“? Kebanyakan dari kita mengurus kewangan berdasarkan contoh ikutan dari ibu bapa kita. Saya masih ingat lagi sewaktu saya kecil, saya nampak abah saya membuat senarai barangan dapur sebelum beliau menghantarnya ke kedai Ah Te (sebuah kedai runcit tempatan). Kalau waktu pagi abah hantar senarai tu, nanti tengahari, sebuah lori kecil yang sarat dengan barangan dapur akan sampai di rumah. Waktu itu, abah belum ada kereta. Jadi, kalau naik motor, sudah tentu tak boleh nak angkut semua barang tu ke rumah. Sebab itulah Ah Te hantar pakai lori. Waktu ini juga lah, waktu saya paling gembira. Macam dapat hadiah Krismas! Yang paling best bila ada hadiah mainan kecil bersama-sama dengan kota ubat gigi.

Itu dulu. Sekarang pun saya masih buat senarai barangan dapur sebelum ke pasaraya. Syukurlah, saya di ajar satu aspek pengurusan kewangan peribadi dari abah, secara tidak langsung. Bukankah kita semua belajar dari apa yang ibu bapa kita buat dengan duit? Kalau ibu bapa kita jenis yang bagus urusan kewangannya, dalam kebanyakan kes, baguslah juga kita yang mengikutnya. Kalau ibu bapa boros, maka tidak peliklah kita berada dalam kemelut kewangan peribadi yang tidak sudah-sudah.

(2) Tidak mahu belajar

Kalau tidak mahu belajar, bukan sahaja pengurusan kewangan peribadi kita lingkup, malah apa yang kita buat semua pun jahanam. Kejahilan merupakan satu sebab yang kukuh untuk kita sendiri merosakkan kewangan peribadi kita. Ramai antara kita beranggapan, bila kita dapat duit nanti, barulah kita belajar untuk mengurus kewangan kita. Namun, apa yang berlaku ialah, bila kita dapat duit gaji kita, kita lebih suka untuk berbelanja mengikut kemahuan. Yang lebih malang lagi, adalah apabila kita tak sedar pun yang kita jahil bab mengurus kewangan peribadi ini. Kita hanya sedar apabila bank mula menelefon kita meminta bayaran untuk kad kredit yang tertunggak atau kereta yang nak ditarik balik oleh bank.

Apa yang perlu kita lakukan sebenarnya ialah, pertama sekali sedar yang kita perlu belajar untuk urus kewangan peribadi kita. Baca buku. Hadir seminar. Minta nasihat pakar kalau sudah terlalu gawat. Belajar dulu merangka perbelanjaan kita, sebelum duit gaji masuk. Kerana apa yang bakal anda pelajari sendiri dalam mengurus kewangan ini adalah lebih bermakna dari belajar di universiti. Siapa lagi yang akan urus kewangan peribadi kita, kalau bukan kita sendiri?

(3) Tidak mempunyai matlamat kewangan peribadi yang jelas

Ramai di antara kita yang pergi kerja dan balik kerja hanya sekadar untuk mendapat gaji akhir bulan. Bila dah dapat gaji, kita mula berbelanja untuk habiskan duit tersebut secepat mungkin, tanpa ada perancangan untuk duit tersebut. Bila masuk bulan yang baru, kitaran ini berlaku kembali. Pergi kerja. Balik kerja. Akhir bulan dapat gaji. Bayar hutang. Ulang. Ini yang berlaku dalam kehidupan kita jika kita tidak ada matlamat kewangan peribadi di dalam hidup. Sungguh malang lagi, ramai yang tidak sedar yang mereka telah lakukan perkara yang sama seperti ini setiap hari selama 10 tahun, tetapi mengharapkan hidup mereka jadi lebih baik. Apakah hidup boleh berubah jadi baik, kalau apa yang dilakukan berulang-kali keputusannya samasekali tidak pernah menjadi baik?

Tetapkan matlamat kewangan peribadi anda hari ini juga. Masih belum terlambat untuk ubah hidup. Untuk matlamat jangka panjang, mulakan dengan berapa banyak hutang yang boleh dihapuskan dalam masa 3 tahun. Berapa banyak simpanan yang anda mahukan dalam masa 5 tahun. Itu contoh. Untuk matlamat jangka pendaek, mulakan dengan berapa banyak yang anda boleh jimat dari perbelanjaan dapur harian. Mungkin ia sukar pada mulanya, namun, jika matlamat anda jelas, anda pasti boleh mencapainya. Agak-agak kalau tiada matlamat, bolehkah anda simpan duit setiap bulan?

(4) Tidak sedar akan kepentingan mengurus kewangan peribadi

Ramai orang memang boleh cari duit. Bekerja untuk dapat duit gaji. Namun, tidak ramai yang sedar akan kepentingan mengurus duit gaji tersebut. Prioriti mengurus duit jatuh di tempat paling bawah dalam hidup. Bekerja keras untuk dapat duit banyak tetapi bila dah dapat dui, mulalah berjoli sakan. Beli gajet baru. Tambah aksesori kereta. Semua ini membuatkan duit keluar jauh lebih cepat dari duit gaji yang masuk. Bila tak sedar pentingnya mengurus kewangan peribadi, duit gaji habis lebih awal dari bayaran gaji yang seterusnya. Panjang lagi hari dalam sebulan untuk dihabiskan tanpa duit.

Lebih malang lagi, kita mula menggunakan kad kredit untuk menampung kehidupan sebegini. Kita tidak sedar bahawa penggunaan kad kredit dengan cara ini akan mempercepatkan proses kegawatan kewangan peribadi, apabila hutang kad kredit ini bertambah. Dengan pengurusan kewangan peribadi yang gagal, sudah tentu kita tidak boleh membayar balik hutang kad kredit yang digunakan bersama-sama dengan kadar bunga yang berlipat ganda.

(5) Ikut orang

Yang ini tidak ada pendirian sendiri. Ikut-ikut orang. Bila ada kawan yang kata bisnes ini bagus, dia pun ikut. Tanpa usul periksa. Tanpa ingin belajar lebih lanjut. Niat nak cepat jadi kaya, tetapi disebabkan ikut sahaja orang, tanpa ada usaha untuk mengkaji, maka duit sedikit yang ada pun lebur begitu sahaja. Maklumlah, kita manusia ini mempunyai naluri yang kuat untuk ikut “kebanyakan orang”. Orang sibuk-sibuk masuk skim, kita pun masuk skim, tetapi disebabkan jahil, rupa-rupanya kita termasuk skim cepat kaya.

Bukannya tidak boleh ikut orang, tetapi kita sendiri kena pastikan yang orang yang diikuti itu membawa mesej yang betul. Bisnes yang baik. Kaji lebih lanjut. Semak dengan Bank Negara Malaysia. Rujuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Bila dah pasti yang diikuti itu betul, usahakan untuk belajar lebih lanjut. Kerana walaupun orang yang diikuti itu betul tetapi kalau ktia jahil, taknak belajar dan sombong, jahanam juga kewangan peribadi kita.

Jadi, kalau dah tau yang kita dah rosakkan kewangan peribadi kita ni, nak buat apa? Sedar diri dulu yang kita kena bantu diri kita sendiri. Keluar dari kejahilan. Mula untuk belajar. Baca buku pengurusan kewangan peribadi. Bersedia untuk diajar. Mula lakukan perubahan, sedikit demi sedikit. Semoga kita semua tidak lagi bekerja tanpa arah tujuan tanpa masa depan.

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz