6 Langkah Untuk Merancang Kejayaan Anda

6 Langkah Untuk Merancang Kejayaan Anda

Jim Rohn merupakan salah seorang mentor dalam aspek pembangunan kendiri di Amerika. Saya diperkenalkan dengan buku-buku dan CD syarahan beliau beberapa tahun dahulu, semasa saya mengikuti program pembangunan kendiri oleh sabuah syarikat network maketing di Kota Kinabalu. Sehingga hari ini, idea-idea dan ilmu beliau masih relevan, dan saya masih lagi mendengar CD audio beliau sewaktu memandu kereta pergi dan balik dari kerja.

Antara nasihat beliau yang bagus dalam aspek pembangunan kendiri ialah tentang bagaimana untuk merancang haluan dan hala tuju hidup anda. Menetapkan matlamat sebenar anda. Ke mana anda hendak pergi di dalam hidup. Kerana beliau berpesan, sebenarnya apa yang berlaku kepada kita sekarang ini tidak penting. Apa yang berlaku sekarang di sekeliling anda tetap akan berlaku. Tetapi apa yang penting ialah apakah reaksi kita terhadap apa yang berlaku. Apa yang kita akan lakukan dengan apa yang berlaku kepada kita.

Dia juga berpesan, keputusan yang kita dapat daripada apa yang kita lakukan adalah sebagus apa yang kita rancangkan. Jika rancangan kita bagus, selalunya keputusan yang kita dapat juga adalah bagus. Jika rancangan kita ala kadar, keputusan yang kita dapat juga ala kadar. Jika kita langsung tidak merancang, agak-agaknya apalah keputusan yang kita dapat ya?

Jadi, beliau menyarankan kita untuk mulakan dengan membuat satu perancangan untuk hidup kita. Buat sesuatu yang berlainan pada tahun ini, berbanding apa yang kita telah lakukan tahun lepas. Mungkin kita mahu bebaskan diri dari belenggu hutang? Mungkin juga kita mahukan kesihatan kita lebih baik? Mungkin kita ingin kurangkan tekanan di tempat kerja? Mungkin juga kita ingin menjadi ibu bapa yang baik selepas dikurniakan dengan seorang cahaya mata tahun lepas?

Di sini, Jim Rohn telah berkongsi dengan kita bagaimana mengatur langkah untuk merancang kejayaan kita untuk tahun baru ini. Oh, tidak semestinya anda lakukan ini pada setiap awal tahun baru. Anda boleh lakukannya bila-bila masa, kerana masa yang paling bagus untuk lakukannya ialah SEKARANG, walaupun anda belum bersedia.

Hakikatnya, setiap orang yang berjaya dalam apa yang mereka lakukan di dalam hidup mereka, sering mempunyai perancangan yang teliti. Amat jarang kita jumpa orang yang berjaya, tiba-tiba sahaja dia berjaya, tanpa perancangan. Jika anda gagal untuk merancang, anda sebenarnya merancang untuk gagal. Rahsia kecil kebanyakan dari orang yang berjaya ialah, mereka melakukan perubahan yang kecil ke arah matlamat dan perancangan mereka, setiap hari. Hanya beberapa disiplin mudah, yang dilakukan setiap hari.

Langkah 1: Bangunkan satu pelan dan perancangan yang betul untuk anda

Setiap orang dilahirkan unik. Kita semua tidak dibesarkan dengan satu set nilai kehidupan yang sama. Jadi apakah itu sebenarnya perancangan yang betul untuk anda? Ia adalah satu pelan yang sesuai dengan anda sendiri. Sesuai dengan set nilai hidup anda. Sesuai dengan kepercayaan anda. Sesuai dengan situasi kehidupan anda. Bukannya perancangan yang orang lain buat untuk anda. Bukannya perancangan yang anda ikut dari kawan sepejabat anda.

Cuba lihat dalam diri anda dan tentukan apakah kekuatan dan kelemahan anda. Dari situ, tentukan pula apakah matlamat anda. Bangunkan satu perancangan untuk matlamat anda berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang anda ada. Tidak ada satu pun perancangan yang sesuai untuk semua orang. Ada orang mungkin ingin memperbaiki tabiat suka menggunakan kad kredit apabila ada jualan murah. Ada orang suka membeli-belah online. Jika anda terus menerus berbuat begitu, adakah anda boleh mencapai matlamat dan impian hidup anda? Jika tidak, anda mungkin perlu buat satu perancangan khusus untuk membendung tabiat kurang sihat itu.

Langkah 2: Tentukan masa yang perlu diluangkan untuk rancangan tersebut

Mungkin anda tidak lagi menggunakan kad kredit apabila keluar berjalan-jalan. Atau mungkin akan hentikan melayari website beli-belah sewaktu bekerja. Apa jua perancangan anda, setkan masa dan lakukannya. Di dalam perancangan langkah demi langkah anda, tentukan dua perkara yang anda boleh capai setiap minggu. Mungkin hanya masuk ke kompleks membeli-belah sebulan sekali. Mungkin juga melayari website yang anda sudah bookmark sekali sebulan. Disiplinkan diri untuk lakukannya, dan anda pasti bergerak seiring dengan matlamat hidup anda.

Langkah 3: Tulis jurnal

Ini satu idea lama yang sangat bagus, tetapi ramai antara kita telah tinggalkan. Dengan adanya peranti mudah alih, tab dan iPad, lebih ramai antara kita yang gemar bermain “game” berbanding mencatat jurnal sendiri. Jim Rohn menasihatkan saya untuk tidak mempercayai kemampuan memori kita, kerana kita mudah sangat terlupa. Catatkannya ke dalam tab atau ke dalam jurnal anda. Rekodkan idea dan inspirasi yang anda dapat setiap hari. Ambil nota yang anda rasa boleh membantu anda pergi dari tempat anda berada ke arah yang anda ingin pergi. Rekodkan impian dan cita-cita. Tuliskan matlamat hidup anda. Jurnal ini merupakan satu tempat yang anda boleh rujuk pada bila-bila masa.

Jika anda serius ingin menjadi kaya, sihat, kuat, berpengaruh, hebat, berbudaya dan unik, jika anda ingin mencari sesuatu yang penting, tuliskannya. Dua orang yang mendengar atau membaca bahan yang sama akan mempunyai idea-idea yang berlainan di dalam minda mereka. Gunakannya untuk mengumpul maklumat dan rekod untuk kegunaan masa depan, dan ia pasti akan membantu anda.

Langkah 4: Renungkan kembali

Ambil masa untuk renungkan kembali apa yang anda telah pelajari dan apa yang anda telah lakukan setiap hari. Sewaktu anda melalui proses ini, habiskan masa untuk berfikir tentang apakah kepentingannya kepada anda. Ambil masa beberapa minit setiap hari sebelum tidur untuk merenung kembali apa yang anda telah lakukan seharian: dengan siapa anda bercakap, dengan siapa anda berjumpa, apa yang diperkatakan, apa yang berlaku dan apakah perasaan anda. Setiap yang berlaku adalah cebisan kecil hidup anda.

Seterusnya, ambil masa beberapa jam pada akhir setiap minggu untuk merenung kembali aktiviti minggu tersebut. Ambil masa untuk memikirkan bagaimana apa yang berlaku boleh diaplikasikan ke dalam hidup anda. Ambil masa untuk memastikan bahawa masa yang telah berlalu memberi makna dan berharga untuk anda dan masa hadapan anda akan jadi lebih baik.

Langkah 5: Tetapkan matlamat

Ingatlah bahawa rancangan anda merupakan satu pelan hala tuju bagaimana untuk anda sampai ke matlamat anda. Anda perlu mempunyai matlamat yang jelas. Belajar untuk menetapkan matlamat adalah satu ilmu yang paling penting yang diajar oleh Encik Shoaff, mentor kepada Jim Rohn. Pernah satu hari beliau ditanya sewaktu berjumpa dengan Encik Shoaff tentang senarai matlamat beliau di dalam hidup. Apabila beliau menjawab “tiada”, Encik Shoaff dengan mudah menganggarkan berapakah jumlah duit yang ada di dalam akaun bank beliau. Dan tekaan Encik Shoaff betul!. Beliau kemudiannya diajar untuk menetapkan matlamat yang jelas kerana ia adalah pengaruh yang paling besar untuk masa depan seseorang dan daya yang besar yang akan menarik seseorang ke arah tempat yang dituju.

Langkah 6: Lakukan rancangan anda

Apa yang selalunya membezakan antara orang yang berjaya dan orang yang tidak berjaya ialah orang yang berjaya “buat sahaja”. Mereka ambil tindakan. Mereka tidak semestinya lebih bijak dari orang lain; mereka hanya bekerja mengikut rancangan mereka. Masa yang paling bagus untuk bertindak ialah sewaktu emosi kita masih kuat. Apa yang akan berlaku jika anda tidak bertindak pada waktu tersebut ialah; Hukum Keinginan yang Berkurangan.

Kita selalu cenderung untuk bertindak apabila kita mempunyai idea yang bagus dengan emosi yang tinggi, tetapi jika kita melengahkan tindakan, keinginan tersebut akan mula pudar, dalam masa sebulan ia akan jadi sejuk, dan dalam masa setahun ia akan hilang terus dari ingatan. Oleh itu, tetapkan disiplin sementara idea itu kuat dan jelas, dan itulah masa untuk kita kerjakan rancangan kita. Anda mesti selami emosi anda dan letakkan ia ke dalam aktiviti yang berdisiplin. Apa yang menariknya di sini ialah disiplin akan mempengaruhi satu sama lain. Sebab itulah tindakan yang paling kecil adalah penting, kerana nilai dan faedah yang anda terima akan memberi inspirasi untuk anda melakukan yang seterusnya dan seterusnya.

Jadi, keluar dan bertindaklah, kerana jika rancangan anda bagus, keputusan yang anda dapat boleh jadi ajaib.

Rancanglah untuk perbaiki status kewangan peribadi anda sekarang.

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz