7 Cara Bagaimana Nak Elakkan Perangkap Hutang

7 Cara Bagaimana Nak Elakkan Perangkap Hutang

Ya, saya pernah juga terjebak dengan hutang kad kredit sebelum ini. Bukan kerana boros, tetapi terpaksa menggunakannya untuk waktu kecemasan. Saya telah memberhentikan tabiat saya bergantung dengan kad kredit untuk digunakan pada waktu kecemasan apabila saya mula membangunkan dana kecemasa saya sendiri. Ini kerana saya sedar, dengan kebergantungan saya kepada kad kredit untuk dana kecemasan, ada kemungkinan saya tidak akan dapat membayar balik duit yang diguna, sekiranya ada apa-apa yang tidak diingini berlaku dengan saya.

#1 Jangan abaikan hutang anda

Jika anda tidak mengendahkan hakikat bahawa anda mempunyai masalah kewangan, anda berpotensi untuk memburukkan keadaan anda kerana hutang yang anda buat tersebut tidak akan hilang dengan sendiri. Berlengah-lengah dalam menangani masalah ini juga boleh memburukkan keadaan. Anda fikir si pemiutang (selalunya institusi perbankan atau ahlong) akan melupakan hutang anda kepada mereka?

#2 Jangan mengamalkan gaya hidup berbelanja RM10,000 padahal gaji cuma RM5,000

Hidup sekadar yang anda mampu mungkin tidak sehebat mana, tetapi ia adalah satu tindakan yang sangat bijak. Saya masih teringat kata-kata seorang mentor saya, “It’s not how much you earn. What’s important is how much you save at the end of the month”. Kalau pada akhir setiap bulan kita berbelanja lebih dari pendapatan kita, lambat laun kita akan terjerumus ke dalam lubuk hutang. Anda juga akan menikmati kehidupan yang lebih baik kerana tidak ada orang yang menagih hutang dari anda atau sesiapa yang ingin menjadikan anda bangkrap.

#3 Jangan boros berbelanja pada hari istimewa

Kita memang tidak dapat elakkan untuk bebelanja lebih sedikit sewaktu hari perayaan, hari lahir dan keraian lain. Pada musim perayaan contohnya, banyak jualan murah dengan diskaun tak masuk akal boleh membuatkan anda rasa bersalah jika tidak membeli untuk orang yang disayangi. Lebih banyak rasa bersalah anda, lebih banyaklah duit yang mungkin anda keluarkan untuk berbelanja. 

Jika anda merasakan yang hadiah adalah sesuatu yang mesti anda beli, elakkan dari membeli di saat-saat akhir, kerana pada ketika ini, anda cenderung untuk melakukan “impulse buying” yang mungkin juga terbeli hadiah yang mahal. Rancang terlebih dahulu hadiah apa yang anda ingin beli, tentukan berapakah bajet hadiah tersebut dan mula menyimpan untuknya lebih awal. Ini boleh mengelakkan daripada anda melakukan perbelanjaan tidak terancang, yang mungkin merugikan anda.

Jangan juga berbelanja untuk menunjuk-nunjuk kepada orang. Iklan kereta di televisyen selalu mengelirukan kita dengan menyiarkan iklan pemilikan kereta setiap kali sebelum hari perayaan, dengan menyuntik sentimen menunjuk-nunjuk kereta baru kepada ahli keluarga sewaktu pulang ke kampung. Tidak ada gunanya berkereta baru pada hari perayaan, tetapi anda terpaksa berhutang dengan kad kredit kerana duit yang ada telah digunakan untuk membuat bayaran downpayment!

Lebih baik untuk anda gunakan duit tersebut dengan cermat atau simpan untuk kegunaan masa hadapan.

#4 Tidak terpengaruh dengan iklan

Jangan buat keputusan terburu-buru apabila ternampak iklan yang terlampau banyak di televisyen dan media sosial. Jangan mudah terpedaya dengan gimik bahawa dengan tidak membeli sesuatu barangan akan mengecewakan diri anda sebagai manusia, ibu, bapa atau isteri. Kebanyakan iklan sekarang menggunakan teknik yang menyentuh emosi kita, kerana kebanyakan masa, kita membeli bukan dengan akal, tetapi dengan emosi. 

Tidak dinafikan yang memang sukar untuk kita kawal emosi dari berbelanja apabila iklan tersebut juga boleh menunjukkan cara-cara kita membuat pembelian dengan kaedah berhutang (dengan bayaran ansuran) agar kita dapat memiliki barangan mahal yang di luar kemampuan kita. Malah kita juga ditawarkan dengan hadiah-hadiah menarik sekiranya transaksi kita berjaya!

#5 Jangan gunakan kad kredit untuk meminjam

Kad kredit memang boleh digunakan (terutamanya yang patuh syariah) sekiranya kita boleh mambayar balik penggunaannya dengan cepat mengikut tarikh yang ditetapkan tanpa menghasilkan faedah. Tetapi untuk digunakan sebagai tempat meminjam duit, adalah dilarang sama sekali.

Membeli dengan berhutang dan tidak membereskan pembayaran dengan penuh setiap bulan akan meningkatkan lagi kos pembelian. Faedah yang dikenakan akan meningkat, dan kitaran ganas ini akan berulang setiap bulan. Anda akan mengambil masa yang begitu lama untuk membayar pinjaman tersebut sehinggalah ia membesar di luar jangkauan pembayaran anda.

#6 Jangan membeli melalui sewa beli jika anda mampu membayar sekaligus

Jika tidak, simpanlah duit sehingga anda mampu. Anda akan mendapat kadar faedah apabila anda menyimpan, sedangkan anda terpaksa membayar faedah jika anda membeli melalui sewa beli atau bayaran mudah.

#7 Jangan terburu-buru menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh seseorang

Yang ini mungkin kita semua pernah alami, apabila adik beradik kita meminta kita untuk menjadi penjamin untuk mereka membeli kereta. Ada kemungkinan yang anda akan mewarisi hutang mereka sekiranya mereka tidak lagi mampu untuk membayar sewa beli bulanan kereta tersebut.

Sebagai penjamin, anda sebenarnya bersetuju untuk membayar hutang mereka sekiranya mereka gagal membayar. Jangan ingat yang anda selamat menjadi penjamin kerana ramai lagi orang lain menjadi penjamin tanpa masalah. Bank mempunyai hak mempertanggungjawabkan semua hutang ke atas penjamin sekiranya peminjam gagal membuat bayaran pinjaman.

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz