8 Kesan Psikologi Dan Emosi Berkaitan Hutang

8 Kesan Psikologi Dan Emosi Berkaitan Hutang

Sama ada ia dianggap sebagai “hutang baik” atau “hutang buruk (lapuk)”, hakikatnya, apa-apa juga hutang boleh menyebabkan kesan emosi yang serius. Kajian menunjukkan apa yang kita telah tahu: hutang sebenarnya adalah lebih dari duit semata-mata. Berada di dalam keadaan berhutang boleh membawa kepada beberapa isu emosi dan psikologi.

Beberapa statistik tentang hutang di Malaysia:

  • Kad kredit: menurut statistik Bank Negara Malaysia, terdapat 8.3 juta kad kredit (atau 34.48% rakyat) di Malaysia pada akhir 2013, dengan jumlah tertunggak purata sekitar RM4,250 bagi setiap pemegang kad kredit. Itu adalah lebih dari satu kad untuk setiap tiga orang. Secara keseluruhan, hutang kad kredit di negara ini berjumlah RM32.3 juta atau 6% daripada hutang isi rumah negara.
  • Pengurusan hutang yang teruk: Menurut Azaddin Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK berkata, daripada 140,000 yang menyertai Program Pengurusan Kredit oleh AKPK, 8,932 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM373.9 juta. “Majoriti golongan yang mengikuti PPK berusia 30 hingga 45 tahun dan 80 peratus berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah,” katanya.
  • Hutang PTPTN: Sejak 1997 sehingga 31 Dis 2015, terdapat lebih 662,000 daripada keseluruhan 2.4 juta peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik pembiayaan melibatkan tunggakan sebanyak RM5.4 bilion.

Ditambah lagi dengan hutang kereta, gadai janji rumah, hutang perubatan, pembiayaan peribadi dan kewajipan lain, adalah selamat untuk kita beranggapan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia akan ada sekurang-kurangnya satu jenis hutang.

Hutang boleh memberikan kesan yang berbeza kepada individu berbeza. Tidak ada toleransi yang umum tentang hutang. Walaupun ada orang yang boleh mengalami kebimbangan yang serius dengan hanya RM1,000 hutang kad kredit, ada orang lain yang tidak berfikir dua kali pun tentang hutangnya sehingga dia melihat pinjaman pelajaran dan hutang kad kreditnya mencecah RM200,000.

Tidak kira apa juga jenis hutang anda amaunnya, ini adalah beberapa isu psikologi dan emosi yang biasa dikaitkan dengan hutang.

Kemurungan dan kebimbangan

Dr. John Gathergood dari University of Nottingham mengkaji korelasi antara hutang yang dibawa dan perasaan kemurungan dan kebimbangan yang berkaitan dengannya. Dalam kajian itu, Gathergood mendapati bahawa mereka yang sukar untuk membayar hutang dan pinjaman mereka adalah dua kali lebih berkemungkinan untuk mengalami masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan dan kebimbangan yang teruk.

Perasaan cemas, risau dan bimbang boleh timbul dengan pelbagai pencetus, seperti kebimbangan yang berterusan tentang duit, mengalami perasaan beban yang mendalam sehingga tidak nampak jalan penyelesaian dan putus asa. Kajian ini juga melaporkan bahawa 29% daripada orang yang mempunyai tekanan hutang yang tinggi juga melaporkan kebimbangan yang teruk.

Kebencian

Hutang adalah sukar untuk sesiapa pun – terutamanya apabila ia menjejaskan perhubungan perkahwinan anda, perkongsian atau keluarga anda. Pasangan atau rakan kongsi boleh membenci antara satu sama lain sebagai satu cara untuk menangani hutang. Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk menyalahkan pasangan apabila hadir di dalam perhubungan dengan hutang yang banyak, kehilangan pekerjaan, tidak mendapat gaji yang cukup atau tabiat perbelanjaan yang mungkin membawa kepada hutang.

Pengarah Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali berkata, pengurusan kewangan yang buruk dan hutang adalah penyebab kepada penceraian pasangan muda di bawah umur 30 tahun. Ini adalah kerana mereka belum bersedia untuk memikul beban mendirikan rumah tangga.

Bukan pasangan anda sahaja yang menjadi sasaran kebencian. Anda juga mungkin membenci majikan anda kerana tidak memberikan gaji yang cukup atau tidak memberi kenaikan pangkat. Anda mungkin membenci ahli keluarga atau rakan-rakan yang bergantung kepada kewangan anda ataupun yang mengganggu kesihatan kewangan anda. Jika anda seorang graduan universiti, anda mungkin akan mula menyalahkan kaunselor dan ibu bapa kerana tidak menjelaskan sepenuhnya kesan pinjaman pelajaran.

Realitinya, ramai memilih untuk membenci diri mereka sendiri dan keputusan mereka yang menjerumuskan diri ke dalam lubuk hutang. Sama ada ia adalah perbelanjaan yang berlebihan, gagal mengambil insurans perubatan, pilihan kerjaya yang buruk atau sesuatu yang lain, adalah tidak pelik untuk imbas kembali dengan penyesalan.

Penafian

Sementara sesetengah orang merasa hutang memberatkan mereka seperti batu yang sangat besar, sesetengah yang lain cuba untuk menyekat perasaan tersebut sepenuhnya. Adalah biasa untuk anda berada di dalam penafian tentang hutang anda, walaupun dengan peringatan yang berterusan dan notis tertunggak yang anda terima. Malangnya, walaupun anda mampu untuk mengabaikan hutang anda sepenuhnya, ia hanya akan menawarkan kelegaan yang sementara, itu pun jika ada – dan ia sering membawa kepada hutang yang semakin bertimbun.

Penafian dalam diri boleh dimanifestasikan dengan tidak membuka bil dan penyata bank yang masuk dalam peti surat, memperosokkan bil dan notis pembayaran lewat di dalam laci dan melupakannya, tidak mengangkat telefon apabila anda mengesyaki ia adalah pemiutang atau sengaja memilih untuk tidak berurusan dengan hutang.

Berada di dalam penafian hutang juga boleh meningkatkan hutang anda dalam beberapa cara. Tidak membayar atau tidak berurusan dengan bil boleh menyebabkan caj lewat dikenakan dan kemungkinan kenaikan kadar faedah. Walaupun anda hanya membayar kadar minimum hutang dengan faedah tersebut, baki anda yang tinggal masih boleh bertambah apabila kadar faedah tersebut terakru. Lebih buruk lagi, penafian boleh membawa anda jauh ke dalam lubuk hutang kerana ia memudahkan perbelanjaan seterusnya.

Tekanan

Hutang dan tekanan memang berjalan seiring. Dengan segunung duit yang dipinjam memberatkan pemikiran anda, adalah normal untuk anda memikirkan bagaimana untuk anda berurusan dengan hutang dan memikirkan sama ada anda berupaya untuk keluar daripadanya.

Mempunyai hutang yang besar juga boleh meningkatkan kadar tekanan anda di tempat kerja, kerana kehilangan pekerjaan akan menjadi bencana yang lebih besar kepada kedudukan kewangan anda. Dan pada bila-bila masa yang memerlukan anda untuk membelanjakan duit, walaupun pada perkara-perkara remeh seperti makanan atau minyak kereta, boleh menyebabkan tekanan yang berterusan.

Mereka yang berurusan dengan hutang lebih cenderung untuk melaporkan masalah kesihatan, yang mana disebabkan oleh tekanan, kebimbangan dan kemurungan. Ia langsung tidak menghairankan, dan kajian juga menunjukkan bahawa lebih tinggi nisbah hutang kepada aset anda, lebih tinggi kemungkinan anda untuk mengalami tekanan dan kemurungan.

Tekanan yang disebabkan oleh hutang bukan sahaja memberi kesan kepada cara kita bekerja dan aktiviti seharian kita. Tekanan ini juga boleh menghapuskan manfaat peristiwa yang biasanya akan menjadi positif. Tekanan yang datang daripada hutang boleh menghapuskan semua kebahagiaan yang anda dapat dari membelanjakan duit. Jadi membelanjakan duit untuk sepasang kasut baru, peranti elektronik atau makan malam dengan kawan-kawan – yang biasanya meningkatkan kebahagiaan – sebenarnya digantikan dengan tekanan yang lebih kerana hutang anda.

Kemarahan dan kekecewaan

Hutang adalah sukar untuk diterima dengan perjalanan peribadi yang memang di dalam keadaan yang sukar. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sangat mengecewakan apabila ia berada di dalam keadaan yang tidak terkawal. Ia boleh menjadi sangat mengecewakan untuk berurusan dengan hutang akibat kejadian yang tidak diduga seperti kehilangan pekerjaan, penceraian, kecurian identiti, kematian di dalam keluarga, repair rumah atau kereta yang rosak atau bil perubatan yang tidak dijangka. Hutang juga boleh menjadi peringatan berterusan yang menyiksakan akibat dari satu peristiwa negatif yang menyebabkan ia berlaku.

Penyesalan

Melihat timbunan bil dan melihat jumlah hutang yang ada boleh menyebabkan penyesalan. Anda mungkin menyesal dengan pembelian yang anda telah buat, tidak menyimpan duit yang cukup atau membuat pilihan kewangan yang buruk. Pelajar dengan beban hutang pinjaman pelajaran mungkin menyesal kerana tidak memahami pinjaman mereka sewaktu mereka belajar di universiti. Kajian telah menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai paras hutang yang tinggi lebih cenderung untuk mempunyai skor kesihatan mental yang lebih buruk daripada mereka yang tidak mempunyai hutang yang sebegitu banyak.

Malu

Suka atau tidak, duit dan harta benda sering dikaitkan dengan kejayaan di dalam masyarakat kita. Jika anda berada di dalam hutang, tidak hairanlah anda berasa malu mengenainya. Anda mungkin berasa malu kerana tidak mendapat gaji yang cukup, tidak menguruskan duit anda dengan betul atau dengan keadaan kewangan anda yang terkompromi menghalang anda daripada menjalani kehidupan yang anda mahu.

Hutang selalu dianggap perkara yang “taboo”, dan kebanyakan dari penghutang tidak mahu keluarga dan rakan-rakan mereka tahu mereka bergelut di dalam hutang. Malah, 85% daripada responden kaji selidik CreditCard.com teragak-agak untuk bercakap mengenai hutang kad kredit mereka. Sikap yang sebegini boleh membawa kepada hutang yang lebih banyak, kerana kita masih berpura-pura untuk menggambarkan imej bebas hutang kita. Kita akan terpengaruh untuk pegi makan malam yang mewah, membeli-belah untuk keluarga dan rakan-rakan yang kita tidak mampu dan terus cuba untuk bersaing dengan tabiat perbelanjaan orang lain.

Ketakutan

Anda boleh merasakan tahap ketakutan anda bertambah yang kadang-kadang datang bersama-sama dengan hutang. Anda berasa sukar untuk membayar hutang anda, berasa takut diusir atau rumah anda dilelong, bankrap, bil air dan elektrik anda dipotong.

Anda juga boleh takut kehilangan kerja anda atau keadaan yang tidak diduga seperti kereta rosak, yang mana boleh memusnahkan kewangan anda sama sekali. Hutang juga boleh membawa kepada kebimbangan lain: takut apa yang berlaku seterusnya, takut tidak boleh keluar dari hutang dan takut bagaimana ia memberi kesan kepada hubungan anda.

Kelegaan, kebebasan dan kejayaan

Apa? Ini adalah beberapa kesan emosi positif hutang – hanya apabila ia telah dibayar. Menguburkan beban kewangan juga boleh menghapuskan kesan-kesan negatif yang dikaitkan dengannya, daripada tekanan hingga ke nilai harga diri yang rendah. Pengasas The Simple Dollar, Trent berkata, “Bebas hutang bukan semata-mata bebas dari hutang. Ia adalah kebebasan dari kebimbangan.” Ia juga boleh membawa kepada peningkatan ketara dalam kesihatan mental dan fizikal anda.

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz