Hutang baik, hutang buruk

Apakah perbezaan antara “hutang baik” dengan “hutang buruk”?

Dahulu, saya beranggapan semua hutang adalah tidak baik. Jarang sangat saya lihat ayah saya berhutang, kecuali hutang kereta, motor dan rumah. Mungkin dari situlah saya telah dididik untuk tidak berhutang, sehinggalah saya mula bekerja. Hutang yang terawal yang saya ketahui adalah kad kredit. Ia sungguh mudah untuk diperolehi, namun oleh kerana saya dididik untuk tidak berhutang, saya tidaklah gunakan kad kredit saya semaksimum mungkin.

Rupanya hutang ini pun ada hutang baik dan hutang buruk! Jadi sebelum anda mula meminjam atau berhutang, adalah lebih baik sekiranya anda mengetahui perbezaan antara hutang baik dan hutang buruk. Ada beberapa jenis hutang yang bagus untuk anda ambil, tetapi ada juga hutang yang berpotensi untuk meletakkan anda dalam situasi kewangan yang agak teruk. Berikut adalah cara untuk anda membezakannya.

Apakah hutang yang baik?

Dalam bahasa yang mudah, hutang baik ialah salah satu pelaburan yang masuk akal untuk kewangan masa depan anda. Ia boleh meletakkan anda di dalam keadaan kewangan yang lebih baik untuk jangka masa yang panjang, dan tidak memberikan kesan yang negatif ke atas kedudukan kewangan anda secara keseluruhan.

Anda mempunyai sebab yang jelas dan spesifik untuk berhutang, dan juga mempunyai pelan yang realistik untuk membayar balik hutang anda secepat mungkin, atau dalam satu siri bayaran tetap dan berpatutan (misalnya untuk gadai janji rumah).

Seseorang yang mempunyai hutang yang baik juga boleh mengenalpasti cara yang paling murah untuk meminjam duit. Mereka melakukannya dengan mencari kaedah pinjaman, kadar feadah, jumlah pinjaman atau kredit, tempoh dan bayaran yang paling sesuai untuk mereka. Dalam kebanyakan kes, ia bermakna perjanjian dengan kadar faedah yang paling rendah.

Contoh hutang yang baik

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana dengan berhutang sebenarnya membolehkan anda berada di dalam keadaan yang lebih baik untuk jangka masa panjang.

  • Pinjaman pelajaran. Selalunya PTPTN. Meminjam untuk belajar di universiti boleh membantu anda untuk menjadi seorang graduan. Ini adalah satu pelaburan yang baik kerana graduan universiti selalunya dibayar lebih tinggi berbanding bukan siswazah dan yang lebih penting ialah kadar faedahnya adalah rendah dan anda hanya perlu membayar balik pinjaman setelah anda mempunyai pekerjaan.
  • Gadai janji rumah. Gadai janji boleh jadi hutang yang baik kerana ia akan membolehkan anda membeli rumah untuk didiami. Setelah gadai janji habis dibayar, rumah tersebut akan menjadi satu aset kewangan anda yang paling besar, yang berkemungkinan untuk meningkat nilainya dari masa ke masa dan bayaran gadai janji bulanan boleh jadi lebih mudah dari bayaran sewa.
  • Melabur di dalam perniagaan anda sendiri. Pinjaman untuk anda mengembangkan perniagaan anda sendiri boleh jadi hutang yang baik, selagi anda mempunyai pelan perniagaan yang waras dan realistik. Jika perniagaan anda semakin baik, ia akan menjadi lebih bernilai daripada pinjaman asal yang anda ambil.

Apakah hutang yang buruk (atau hutang lapuk)?

Hutang yang buruk ialah hutang yang menghakis kekayaan anda, yang anda tidak mampu untuk bayar balik atau yang tidak menawarkan apa-apa keuntungan di masa depan. Hutang yang buruk juga tidak mempunyai pelan pembayaran balik yang realistik dan selalunya ia semakin bertambah apabila anda membuat pembelian kejutan (impulse buying) pada barangan yang anda benar-benar tidak perlukan, ataupun meminjam untuk membayar bil-bil bulanan.

Jika anda tidak mampu untuk meminjam duit (contohnya, anda tidak pasti sama ada anda mampu untuk membayar balik setiap bulan atau tidak) ia pastinya adalah hutang yang buruk.

Contoh hutang yang buruk

Berikut adalah beberapa contoh perkara yang anda perlu fikir secara serius sebelum anda berhutang untuknya. Jika anda tidak dapat membayar hutang tersebut dalam jangka masa yang singkat, mungkin lebih baik untuk tidak membelanjakan duit anda.

  • Satu percutian mewah yang anda tidak mampu. Satu percutian mewah mungkin boleh menjadi pelancongan terhebat seumur hidup anda, tetapi ia lebih baik dielakkan sekiranya ia disertai dengan hutang seumur hidup. Daripada meminjam untuk melancong, cubalah untuk menyimpan terlebih dahulu. Rangka semula perancangan percutian anda jika perlu, supaya anda masih boleh bercuti dalam julat kemampuan anda.
  • Sebuah kereta baru yang anda tidak perlu. Jika anda tidak perlu membeli kereta baru, fikir dua kali mengenainya. Kereta baru selalunya akan susut nilai sebaik sahaja ia keluar dari bilik pameran. Sekiranya anda kehilangan kerja dan tidak dapat membayar balik sewa beli bulanan, anda mungkin akan dibebani hutang yang jauh lebih tinggi nilainya berbanding harga jualan balik kereta tersebut. Ini bermakna anda tidak lagi akan mempunyai kereta, tetapi anda mempunyai hutang tertunggak (dengan kadar faedahnya sekali) untuk dibayar.
  • Meminjam untuk membayar bil atau komitmen kredit yang lain, contohnya hutang kad kredit yang bertimbun, dan anda hanya mampu untuk membayar jumlah minimum kad tersebut setiap bulan. Cuba gunakan kaedah “debt snowball” ini untuk melangsaikan hutang kad kredit anda.

Tips untuk mengelakkan hutang buruk

Apabila anda berura-ura hendak membuat pinjaman, tanyakan diri anda dengan soalan-soalan berikut. Jika anda menjawab “tidak” pada salah satu soalan ini, hutang tersebut mungkin adalah buruk.

  • Adakah dengan meminjam duit ini akan memperbaiki situasi kewangan saya dalam jangka masa panjang?
  • Sudahkah saya meninjau di beberapa tempat untuk mendapatkan tawaran yang terbaik?
  • Adakah saya meminjam duit ini semurah mungkin?
  • Bolehkah saya hadapi sekiranya ada peningkatan kadar faedah pada masa akan datang?
  • Adakah saya mampu untuk membayr balik setiap bulan?
  • Adakah saya memahami semua terma dan syarat yang berkaitan dengan pinjaman wang ini?
  • Adakah saya memahami risiko dan apa yang boleh berlaku sekiranya berlaku kesilapan?

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz