Nilai Kehidupan Utama Di Dalam Keluarga

Hari Kedua: Menentukan Matlamat Dari Nilai Kehidupan Anda

Semalam kita telah takrifkan lima nilai utama yang menentukan kehidupan kita. Nilai-nilai ini adalah asas kehidupan kita, mereka adalah pemacu untuk kita bekerja setiap hari dan secara amnya membimbing kita bagaimana untuk kita menjalani kehidupan kita.

Namun seringkali kita mendapati diri kita mengkhianati nilai-nilai ini (semua orang pernah melakukan perkara ini pada satu ketika), dan apabila kita memilih untuk mengkhianati nilai-nilai tersebut, kita mendapati diri kita berada di dalam kesulitan kewangan dan bukannya dalam kestabilan kewangan. Kita sama ada membelanjakan duit kepada perkara-perkara yang tidak sepadan dengan nilai-nilai atau menentang nilai-nilai kehidupan kita, atau kita membelanjakan duit ke atas nilai-nilai kehidupan kita tetapi dengan cara yang tidak betul.

Mengapa kita lakukan sebegini? Sebab terbesar mengapa kita membelanjakan duit di luar nilai-nilai kehidupan kita adalah kerana kita tidak menentukan dengan khusus apakah matlamat hidup kita. Matlamat adalah hanya jelmaan tertentu nilai-nilai kita – pencapaian ketara yang merupakan petanda jelas tentang kehidupan kita yang selaras dengan nilai-nilai kita.

Anda mungkin berfikir sendiri, “Saya sudah pun mempunyai nilai-nilai dan matlamat saya sendiri – semua ini adalah satu pembaziran masa saya.” Sebelum anda log keluar, saya ingin bertanyakan kepada anda satu soalan mudah: pertama, adakah matlamat anda benar-benar sepadan dengan nilai-nilai kehidupan anda? Biar saya berikan anda satu contoh. Salah satu matlamat jangka pendek utama saya adalah membeli sebuah rumah, yang saya pasti ramai daripada anda boleh memahami keadaan ini. Matlamat ini adalah sangat berkaitan dengan salah satu nilai utama dalam hidup saya, iaitu keluarga saya. Oleh itu, saya ingin membeli rumah untuk keluarga saya. Memahami akan hubungan ini membolehkan saya menentukan dengan jelas apakah jenis rumah yang saya cari (ia tidak perlu sebuah rumah yang baru, tetapi mempunyai cukup ruang untuk anak-anak saya – dapur yang besar, ruang tamu dan empat bilik tidur adalah kriteria rumah yang saya cari). Oleh itu, setiap kali saya berfikir tentang pembelian rumah, saya sedar bahawa saya bekerja untuk keluarga saya.

Jika anda secara jujurnya boleh mensepadankan setiap matlamat utama di dalam hidup anda dengan salah satu nilai utama kehidupan anda, anda adalah lebih baik daripada kebanyakan orang di dalam dunia ini. Yang sebenarnya, kita mempunyai nilai-nilai hidup tanpa mempunyai matlamat hidup yang sepadan, matlamat hidup tanpa sebarang nilai-nilai yang berkaitan dan pasangan nilai kehidupan-matlamat yang benar-benar tidak jelas dan kelam kabut. Orang-orang yang berjaya dari segi kewangan menemukan jalan untuk mengurangkan masalah ini.

Bagaimanakah mereka melakukannya? Mereka memastikan yang semua matlamat mereka adalah berdasar secara langsung pada nilai-nilai peribadi kehidupan mereka, dan mereka jalani kehidupan mereka dengan memenuhi matlamat mereka lebih dari yang lain. Jika mereka berbelanja, mereka akan bertanya kepada diri sendiri sama ada duit tersebut akan secara langsung membawa mereka ke arah salah satu daripada matlamat mereka. Jika jawapannya adalah tidak, mereka tidak akan membelanjakan duit mereka. Oleh itu, apabila mereka benar-benar membelanjakan duit mereka, meraka tidak akan rasa bersalah kerana berbelanja. Mereka dapat melihat bagaimana duit mereka akan membolehkan mereka mencapai matlamat mereka dengan segera, yang pada asasnya adalah sangat berkaitan dengan nilai-nilai yang menentukan kehidupan mereka.

Bagaimanakah kita dapat menuju ke sana? Mari kita ambil satu jam, duduk dengan selesa dan tentukan sepuluh matlamat di dalam hidup anda. Jika anda telah melakukan langkah semalam, anda sepatutnya sudah mempunyai senarai lima nilai-nilai hidup yang menjadi teras kepada kehidupan anda. Sekarang, kita ambil nilai-nilai ini dan gunakannya untuk menentukan sepuluh matlamat konkrit kita.

Pertama sekali, lupakan sementara waktu apa yang anda percaya tentang matlamat anda sekarang. Anda mungkin akan kembali semula ke matlamat anda semasa proses ini berjalan atau mungkin juga tidak. Tujuan utama ialah untuk menentukan yang matlamat anda serasi dengan nilai-nilai teras anda.

Bagi setiap nilai di dalam senarai anda, tanyakan diri anda di mana anda ingin berada dua puluh lima tahun akan datang dari segi nilai kehidupan tersebut. Saya ada menyatakan bahawa salah satu nilai utama saya adalah keluarga saya (khususnya anak-anak saya), jadi dalam masa dua puluh lima tahun lagi, saya ingin anak-anak saya berpendidikan tinggi dan boleh memulakan hidup meraka sendiri dan salah seorangnya masih menuntut di institut pengajian tinggi.

Sekarang, tukarkan impian tersebut kepada matlamat. Untuk anak-anak saya dapat memulakan kehidupan mereka sendiri, saya ingin mengurangkan hutang pengajian tinggi mereka dan menunjukkan contoh yang baik untuk kehidupan mereka. Oleh itu, matlamat saya ialah untuk membayar sekurang-kurangnya sebahagian daripada pendidikan mereka.

Anda mungkin akan terdorong untuk mula menulis pelan untuk matlamat anda sekarang, tetapi jangan dahulu berbuat demikian. Kita akan sama-sama lakukannya nanti. Buat masa ini, kita hanya mahu membuat senarai matlamat jangka panjang yang sesuai dengan nilai-nilai anda.

Bagi mereka yang ingin tahu, berikut adalah matlamat saya untuk tempoh dua puluh lima tahun akan datang:

  • Saya ingin berupaya membayar sebahagian besar daripada pendidikan kolej anak saya.
  • Saya hendak membayar sepenuhnya sebuah rumah yang cukup besar untuk cucu-cucu saya datang melawat dan berasa selesa.
  • Saya mahu melancong mengelilingi dunia dengan isteri saya.
  • Saya ingin ada tiga buah buku dalam cetakan.
  • Saya ingin berupaya untuk hidup selesa dari keuntungan pelaburan bukan persaraan saya.

Sebaik sahaja anda telah membuat matlamat jangka panjang anda, imbas kembali nilai-nilai kehidupan anda dan tanyakan diri anda, di mana anda mahu berada dalam masa setahun akan datang. Sama seperti sebelum ini, fikirkan di mana anda ingin berada sehubungan dengan nilai tersebut dalam masa satu tahun dan jangan bimbang tentang rancangan untuk matlamat tersebut.

Sekali lagi, ini adalah matlamat setahun saya:

  • Saya mahu menggandakan nilai pelan simpanan pengajian tinggi anak saya.
  • Saya ingin membeli dan berpindah ke rumah baru.
  • Saya ingin pilih dan belajar bahasa asing.
  • Saya ingin mempunyai empat kali ganda pembaca The Simple Dollar.
  • Saya ingin mencapai $10,000 keuntungan di dalam akaun saham amanah bukan persaraan saya.

Setelah anda telah mempunyai matlamat-matlamat tersebut, kita sudah bersedia untuk menentukan beberapa rancangan … tetapi, mari kita tidur dahulu.


Program 31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda ini saya alih bahasakan dari penulis asal berbahasa Inggeris, Trent Hamm dari website The Simple Dollar. Setelah mendapat ilmu dan ilham dari beliau, saya mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman saya menggunakan teknik yang beliau sarankan untuk mencapai impian saya. Semoga ia dapat membantu merealisasikan impian anda juga.

Saya mencadangkan untuk anda luangkan masa setiap hari, sekurang-kurangnya satu jam untuk 31 hari berikutnya, kerana ia akan mengubah halatuju kehidupan kewangan peribadi anda. Sudah tiba masanya untuk anda ambil langkah pertama mengubah masa depan anda. Semoga berjaya!