Hari Pertama: Lima Nilai Kehidupan Utama Anda

Hari Pertama: Lima Nilai Kehidupan Utama Anda

Anda mungkin menjangkakan yang kita akan mula memperbaiki kewangan peribadi anda dengan pensil dan kalkulator. Pada hakikatnya, kita akan ambil masa beberapa hari lagi sebelum kita mempunyai apa-apa keperluan untuk menggunakan kedua-duanya. Mengapa? Sebelum kita boleh menentukan pelan yang berkesan untuk anda, kita perlu duduk dan fahami apa yang benar-benar penting di dalam hidup anda.

Kita semua bekerja keras kerana ada sebab tertentu. Kita pergi dan balik kerja setiap hari kerana kita mahukan duit, bukan? Duit membolehkan kita membeli dan membolehkan kita hidup di dunia yang moden ini. Tetapi apa yang kita maksudkan dengan “kehidupan”? Apa sebenarnya “kehidupan” ini yang kita berikan tumpuan?

Hakikat sebenarnya adalah kita hidup dengan mengikuti satu set nilai-nilai kehidupan. Kita terus menerus melakukan tindakan harian kita dengan berdasarkan nilai-nilai ini: nilai-nilai kehidupan kita bercampur dengan nilai-nilai orang lain. Sebagai contoh, keluarga saya ialah nilai tertinggi kehidupan saya. Saya mahukan kehidupan yang baik, penuh bermakna untuk isteri dan anak-anak saya supaya mereka dengan mudah boleh menentukan dan mengikuti nilai-nilai mereka sendiri.

Setiap individu mempunyai satu set antara empat hingga enam nilai utama yang menggariskan kehidupan mereka (kita mungkin mempunyai nilai-nilai kehidupan yang lain, tetapi nilai-nilai tersebut adalah nilai-nilai sekunder kepada nilai-nilai yang utama). Masalah kewangan berlaku akibat dari pemesongan nilai-nilai tersebut: kita mempercayai bahawa beberapa perkara adalah amat penting kepada nilai-nilai tersebut apabila ia sebenarnya adalah tidak penting. Secara umumnya, inilah yang pengiklan berusaha lakukan: ia cuba untuk meluahkan satu nilai teras yang sesetengah orang miliki dan membuatkan produk mereka seolah-olah penting untuk mencapai nilai tersebut.

Oleh itu, langkah pertama kita adalah untuk menentukan apakah nilai-nilai utama kita. Kita bukan menentukan matlamat kita di sini! Matlamat adalah tindakan secara khusus, seperti contoh “bersara pada umur lima puluh lima” atau “membiayai pengajian universiti anak saya”. Apa yang kita cari sekarang adalah nilai-nilai kehidupan. Rakan-rakan. Kebebasan. Kasih sayang. Kebenaran. Apakah perkara-perkara asas yang membuatkan anda gembira? Ada senarai tiga puluh nilai-nilai potensi yang seseorang mungkin akan senaraikan pada akhir catatan ini. Anda boleh lihat sendiri sekiranya anda seorang yang beorientasikan contoh untuk berfikir.

Pada mulanya, ia kelihatan agak sukar, jadi ini adalah satu prosedur yang akan membantu anda berada di dalam set minda yang betul.

Pertama, letakkan diri anda di dalam keadaan tenang dan santai. Bagi saya, ini biasanya akan datang selepas makan dengan segelas wain ataupun bir yang bagus. Saya boleh kosongkan fikiran saya dan berfikir tentang kehidupan saya dengan lebih jelas. Pergi berurut, berbaring di atas katil atau buat apa sahaja yang boleh menambahkan ketenangan anda.

Kedua, bersikap jujur. Tiada orang lain yang akan melihat senarai ini, jadi tulislah apa yang benar-benar datang dari dalam diri anda. Anda mungkin akan menulis perkara-perkara seperti “Kekuatan” atau “ Keseronokan” yang anda mungkin tidak mahu tunjukkan kepada orang lain, atau anda mungkin terdorong untuk menulis “Keluarga” kerana mungkin pasangan anda akan mengharapkannya – tetapi ia sebenarnya tidak seberapa penting kepada anda.

Ketiga, tutup mata dan tanya diri anda apa yang benar-benar penting di dalam hidup anda. Jika tiada apa-apa yang terlintas di fikiran dengan segera, jangan bimbang. Fikirkan tentang detik-detik di mana anda rasa diri anda paling lengkap dan sempurna dan perasaan ini tersemat di dalam anda selamanya, bukannya perasaan yang sementara dan berlalu.

Setelah anda menemui nilai-nilai tersebut, tuliskan. Sila buat senarai pada sehelai kertas. Ia tidak perlu disenaraikan mengikut kedudukan tertentu. Sebaik sahaja anda telah menemui satu nilai kehidupan yang penting kepada anda, tambahkannya di bahagian bawah senarai. Anda akan tahu apabila anda telah selesai. Jangan terlalu bimbang dengan berapa banyak yang anda telah tulis.

Jika anda mempunyai lebih dari enam nilai kehidupan, tanyakan diri jika ada di antaranya adalah nilai-nilai yang sama. Selalunya, jika anda mendapat lebih dari enam nilai kehidupan dari senarai kami, anda akan sedari bahawa dua daripadanya adalah sebenarnya perkara yang sama. Jika ia benar, maka gabungkannya atau potong salah satu daripadanya.

Jika anda mempunyai kurang dari empat nilai, cuba fikirkan lebih sedikit. Kebanyakan orang mempunyai sekurang-kurangnya empat nilai utama dalam kehidupan mereka, jadi luangkan lebih banyak masa untuk memastikan anda tidak tercicir apa-apa.

Setelah anda mendapat senarai tersebut, simpankannya. Kita bukan sahaja akan merujuknya untuk langkah-langkah akan datang, malah mungkin akan menjadi berharga untuk anda. Jumpa anda esok!

Jika anda memerlukan bantuan untuk bermula, ini adalah senarai tiga puluh nilai-nilai yang mungkin ada di dalam kehidupan anda. Sila ambil perhatian bahawa ini bukanlah satu senarai nilai-nilai yang mungkin ada, ia hanyalah pilihan beberapa nilai untuk membantu anda memulakan program ini.

  • Pengembaraan
  • Keseimbangan
  • Kecantikan
  • Kebersihan
  • Keyakinan
  • Kawalan
  • Kreativiti
  • Pendidikan
  • Keghairahan
  • Keluarga
  • Rakan-rakan
  • Kebebasan
  • Kecukupan
  • Kegembiraan
  • Pertumbuhan
  • Kebahagiaan
  • Kesihatan
  • Kemerdekaan
  • Kepimpinan
  • Kasih sayang
  • Melakukan perubahan
  • Perkahwinan
  • Ketenangan fikiran
  • Kuasa
  • Keselamatan
  • Perkhidmatan
  • Perkongsian
  • Kerohanian
  • Alam sekitar
  • Kebenaran

Program 31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda ini saya alih bahasakan dari penulis asal berbahasa Inggeris, Trent Hamm dari website The Simple Dollar. Setelah mendapat ilmu dan ilham dari beliau, saya mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman saya menggunakan teknik yang beliau sarankan untuk mencapai impian saya. Semoga ia dapat membantu merealisasikan impian anda juga.

Saya mencadangkan untuk anda luangkan masa setiap hari, sekurang-kurangnya satu jam untuk 31 hari berikutnya, kerana ia akan mengubah halatuju kehidupan kewangan peribadi anda. Sudah tiba masanya untuk anda ambil langkah pertama mengubah masa depan anda. Semoga berjaya!

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz