Insurans hayat

Perlukah Saya Membeli Insurans Hayat?

Oh, insurans hayat. Antara perkara yang saya tidak gemari sewaktu mula bekerja dulu-dulu. Mana tidaknya, hampir setiap bulan saya akan ditelefon oleh telemarketer insurans menggesa saya membeli insurans mereka. Waktu itu saya tidak tahu pun ada banyak jenis insurans di luar sana. Selepas ditelefon dan didesak oleh telemarketer yang betul-betul pandai mengayat, saya beli juga insurans (walaupun saya tak tahu insurans apa yang saya beli) kerana terpaksa. Kalau tidak beli, saya tidak tahu bagaimana hendak letak telefon.

Itu dahulu. Sekarang, apabila saya sudah ada sedikit pengetahuan tentang pelbagai jenis insurans, baru saya faham apa kepentingannya. Hari ini kita fokus pada insurans hayat dahulu. Secara kasarnya, insurans hayat adalah satu cara untuk melindungi waris kita jika ada perkara yang tidak diingini berlaku kepada kita. Saya dipesan oleh mentor saya untuk gunakan insurans sebagai alat pelindungan, dan bukannya alat untuk pelaburan.

Namun persoalan asa timbul, perlukah saya membeli insurans hayat? Berdasarkan pengetahuan saya yang asas tentang takaful dan insurans ini, ada beberapa kriteria yang perlu kita pertimbangkan sebelum kita bercadang untuk membeli insurans hayat sebagai alat perlindungan.

Lelaki yang sudah berkeluarga – Sangat disarankan

Dalam keluarga Malaysia yang biasa, seorang lelaki selalunya menjadi pencari nafkah utama untuk isteri dan anak-anak. Sekiranya kematian berlaku tiba-tiba, maka putuslah punca pendapatan keluarga tersebut. Ia pasti satu keadaan yang sukar kepada keluarga tersebut, lebih-lebih lagi jika keluarga itu mempunyai anak-anak kecil yang masih bersekolah. Sekiranya anda adalah salah seorang pencari nafkah utama di dalam keluarga anda, adalah disarankan untuk anda mempunyai insurans hayat. Anda pasti tidak mahu anak-anak dan isteri anda berada di dalam kesusahan apabila anda sudah tiada di dunia ini bukan?

Isteri – Mungkin perlu

Jika anda pasangan suami isteri yang belum mempunyai anak, maka isteri tidak perlu polisi insurans hayat untuk dirinya. Tetapi jika anda pasangan suami isteri yang mempunyai anak, dan isteri juga bekerja di mana pendapatannya penting dalam keluarga anda, maka lebih baik isteri mempunyai insurans hayat. Namun begitu, nilainya mungkin tidak setinggi suami.

Kanak-kanak – tidak perlu

Oleh kerana anak-anak kita tidak mempunyai tanggungan, maka mereka tidak memerlukan insurans hayat. Ianya satu pembaziran duit saban tahun sekiranya anda membelikan insurans hayat untuk anak anda yang tidak memerlukannya.

Orang bujang – tidak perlu

Jika anda hanya menanggung diri anda sendiri, anda tidak perlukan insurans hayat. Tetapi jika anda masih mempunyai tanggungan, seperti adik beradik dan ibu bapa anda yang tua, polisi insurans hayat mungkin diperlukan.

Berapakah nilai insurans hayat yang diperlukan?

Persoalannya di sini sebenarnya bukan berapakah nilai insurans yang anda perlukan, tetapi berapa banyakkah modal yang keluarga anda perlukan sewaktu anda meninggal dunia, yang selalunya bergantung dengan dua faktor ini:

  1. Berapa banyakkah yang diperlukan sewaktu kematian untuk memenuhi kewajipan serta-merta? Amaun ini selalunya ialah jumlah kos perubatan, bil hospital, kos pengurusan jenazah, hutang-piutang, gadai janji rumah dan yang berkaitan dengannya.
  2. Berapa banyakkah pendapatan masa depan yang diperlukan untuk menampung ahli keluarga yang tinggal? Anda akan dapat amaun ini setelah mengira “nilai terkini” aliran tunai dalam keluarga anda setelah anda meninggal dunia.

Peringatan mudah

  • Jangan membeli insurans sekadar ingin memuaskan hati kawan atau mengalah kepada pujukan ejen insurans.
  • Jangan membeli insurans dengan tujuan hendak buat pelaburan. Insurans adalah perlindungan dan bukan untuk membuat keuntungan.
  • Jangan membeli insurans dengan polisi yang terlalu mahal sehingga anda tidak mampu membayarnya dan menyusahkan keluarga anda sendiri.

*Sila bertanya dan berjumpa dengan ajen insurans yang bertauliah untuk mendapatkan maklumat lanjut. Maklumat yang banyak di dalam internet hanya boleh anda jadikan panduan sahaja. Oleh kerana setiap orang adalah unik, maka keperluan insurans hayat kita berbeza-beza. 

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz