Review Buku: Rich Dad’s Escape The Rat Race – Edisi Bahasa Melayu

Review Buku: Rich Dad’s Escape The Rat Race – Edisi Bahasa Melayu

Kelmarin sewaktu saya membeli buku untuk dibaca, saya ternampak sebuah buku yang bagus untuk anak-anak saya baca. Buku Rich Dad’s Escape The Rat Race karangan Robert Kiyosaki ¬†adalah sebuah buku berilustrasi (komik) yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada apa yang bakal mereka hadapi sewaktu mereka sudah besar dan mula bekerja kelak. Saya sangat yakin yang buku ini sedikit sebanyak boleh memberikan idea kepada anak-anak saya tentang pengurusan kewangan peribadi, bagaimana duit berfungsi dan bagaimana boleh menjadi kaya, seperti mana buku Rich Dad, Poor Dad yang pernah saya baca hampir 15 tahun yang lalu.

Bab 1: Mari berkenalan dengan Tina, Tim dan Red

Tina (tikus betina), Tim (kura-kura) dan Red (tikus jantan), merupakan tiga sekawan yang diilustrasikan di dalam buku ini. Dengan berlatar-belakangkan fun-fair, Tim tidak dapat bermain mainan yang ada di fun-fair tersebut kerana tidak mempunyai duit yang cukup. Red, yang mempunyai financial intelligence (kepintaran kewangan), berkongsi dengan Tim tentang perkara itu apabila Tim bercadang untuk bekerja untuk mendapat duit supaya dia boleh gunakan untuk bermain mainan di fun-fair tersebut.

Penjelasan Red tentang financial intelligence ialah:

  • Inilah ilmu yang memisahkan antara orang yang berduit, berterusan mendapat duit tanpa henti dengan orang yang berharap mereka berduit tetapi tidak pernah cukup duit.
  • Inilah ilmu yang menunjukkan kita bagaimana duit bekerja, dan tahu bagaimana untuk membuatkan duit bekerja untuk kita, bukannya kita bekerja untuk duit.
  • Inilah juga ilmu yang membolehkan kita tidak putus duit, iaitu duit mengalir masuk ke dalam poket, dengan tidak perlu lagi bekerja di pejabat untuk mendapatkannya.

Bab 2: Cerita Robert

Bab ini Red menceritakan tentang kehidupan Robert sewaktu kecil, bagaimana beliau belajar dari dua orang bapa (bapa beliau dan bapa kawan baik beliau, Mike) tentang duit. Bapa Robert seorang guru, yang mana bekerja untuk dapat duit (bapa miskin), manakala bapa Mike, kawan baik beliau ialah seorang usahawan (bapa kaya). Kedua-dua orang bapa tersebut mengajar Robert tentang duit – cuma pandangan kedua-dua mereka jauh berbeza. Pada bab ini, Robert belajar tentang duit dengan bekerja dengan bapa Mike untuk kerja dan gaji yang tidak berbaloi.

Bab 3: Robert melepaskan diri dari perangkap

Dalam bab ini, Robert bertemu dengan bapa Mike kembali untuk menyatakan ketidak puashatiannya tentang kerja dan gaji yang diberi. Itulah cara yang dilakukan oleh bapa Mike untuk mengajar Robert – dengan merasakan dan mengalami sendiri apa yang bakal dia lalui sewaktu dia dewasa kelak. Bapa Robert menjelaskan tentang nilai harga diri yang kebanyakan orang sanggup korbankan untuk mendapatkan duit.

Apabila Robert dan Mike diarahkan bekerja tanpa dibayar sesen pun, ia memaksa mereka berfikir, macam mana untuk mendapatkan duit, bukan dengan bekerja. Mereka berjaya membuka sebuah perpustakaan komik di bawah rumah Mike. Dengan mengenakan bayaran kepada kanak-kanak yang ingin membaca komik di perpustakaan tersebut, mereka telah berjaya menjalankan satu perniagaan yang dapat menghasilkan duit, walaupun mereka tidak mengerjakannya lagi.

Bab 4: Peluang ada di mana-mana

Kembali kepada cerita Tim dan Red, yang mana pada bab ini, Red menceritakan bagaimana dia berjaya mendapatkan duit dengan menyewakan basikal kepada kawan-kawannya. Dia juga menerangkan kepada Tim tentang aliran tunai (cash flow), supaya dia tahu dari manakah duitnya datang dan ke manakah duitnya pergi. Antara perkara-perkara yang perlu diketahui tentang aliran tunai ialah:

  • Pendapatan, dari gaji atau bonus
  • Perbelanjaan, termasuk sewa, elektrik, bayaran kad kredit dan makanan
  • Aset, seperti hartanah, pelaburan, simpanan dan perniagaan
  • Liabiliti, seperti kereta, ansuran rumah dan kad kredit

Secara ringkasnya, bab ini ingin menekankan tentang aset, iaitu apa-apa juga perkara yang anda buat atau ada, yang memasukkan duit ke dalam poket. Manakala liabiliti pula ialah apa-apa juga perkara yang anda buat atau ada, yang mengeluarkan duit dari dalam poket. Jadi di sini, Red menasihatkan Tim untuk berfikir, bagaimana untuk mengumpulkan aset, supaya duit hasil aset tersebut boleh menampung keperluan dan kehendaknya.

Bab 5: Mari kita lakukannya

Red mengajar Tim untuk membahagi-bahagikan duit yang didapati kepada tiga bahagian: simpanan, pelaburan dan kebajikan. Pada waktu ini juga mereka bebincang tentang apakah yang boleh dilakukan dengan duit dari pelaburan Tim supaya dia mendapat keuntungan. Hendak tahu apa yang Tim buat dengan duit tersebut? Anda perlu memiliki buku ini untuk diberikan kepada anak-anak anda!

Leave a Reply

Be the First to Comment!

Leave a Reply

wpDiscuz