Tentang saya

“Ramai orang pandai BUAT DUIT, tapi tak ramai orang yang pandai URUS DUIT

Mengubah Situasi Kewangan Peribadi Anda
Keluarga saya yang besar!

Assalamualaikum. Nama saya Ruhaizad bin Daud. Suami kepada seorang isteri dan bapa kepada lima orang anak. Saya menetap di Kota Kinabalu, Sabah. Berasal dari Muar, Johor, tetapi telah ditugaskan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada tahun 2001 untuk bertugas sebagai seorang Pegawai Perubatan. Sekarang saya bertugas di Klinik Sabah, sebuah klinik swasta di pusat bandar Kota Kinabalu bermula dari tahun 2007.

Idea untuk membuat blog tentang pengurusan kewangan peribadi ini telah bermula dari tahun 2007 lagi, tetapi pada waktu itu saya suka memberi alasan “menyibukkan diri” untuk saya menulis tentang perjalanan memperbaiki situasi kewangan peribadi saya. Selama tempoh itu juga saya membaca banyak buku dan merujuk banyak website berbahasa Inggeris untuk memperbaiki situasi kewangan peribadi saya yang “kurang sihat”.

Jangan ingat yang kerjaya sebagai doktor itu senang dengan duit banyak. Cabarannya ialah saya tidak pernah belajar pun tentang mengurus duit waktu di universiti. Bila mula bekerja macam kebanyakan dari kita, itulah masanya kita sendiri belajar untuk urus kewangan peribadi kita, yang mana selalunya kita akan urus duit ikut cara yang selalu kita nampak – dari ibu bapa kita. Kalau ibu bapa kita boleh uruskan kewangan peribadi keluarga dengan baik, kita selalunya akan ikut. Kalau ibu bapa kita tidak boleh urus dengan baik, kemungkinan besar kita juga akan ulangi apa yang kita belajar secara “subconscious” dari mereka. “Bapa borek, anak rintik”, bak kata pepatah.

Ada juga pepatah yang berbunyi, “Besar periuk, besar juga keraknya”. Yang ini memang kena dengan batang hidung saya. Maksudnya lebih kurang, lebih besar gaji kita, lebih besar juga hutang kita. Saya memang sedari perkara ini sejak awal lagi, tetapi tetap juga masih asyik berhutang dengan kad kredit kerana sangat mudah dan tak nampak pun duit bertukar tangan.

Selama tempoh belajar saya memperbaiki situasi kewangan peribadi saya, banyak tips mudah dan masuk akal yang saya pelajari.  Jadi, saya akan kongsikan tips-tips yang saya rasa mudah untuk kita rakyat biasa untuk faham dan gunakan setiap hari. Saya tidak akan tulis perkara-perkara yang rumit, yang selalunya keluar dalam majalah kewangan dan perniagaan dengan jargon-jargon perkataan kewangan yang kadang-kala saya sendiri pun tidak faham.

Jika anda:

  1. Rasa macam duit gaji tidak cukup sampai masa gaji bulan berikutnya, dan tak tahu ke mana duit pergi, mungkin tips ini boleh bantu.
  2. Rasa terbeban dengan hutang kad kredit dan hendak tahu macam mana nak urus dan langsaikan, mungkin juga boleh bantu.
  3. Rasa bajet yang selalu dibuat pada setiap awal tahun dan awal bulan hanya bertahan untuk seminggu dua sahaja, sebelum tabiat lama datang balik, mungkin ini boleh bantu.
  4. Ada impian untuk memperbaiki taraf hidup di masa depan – tak kira untuk diri sendiri atau anak-anak, tetapi sering terlupa dengan impian tersebut, mungkin ada beberapa tips yang boleh digunakan.
  5. Sedar yang anda perlu berbuat sesuatu dengan situasi kewangan peribadi anda, jika tidak, mungkin anda akan berada jauh di dalam lubuk hutang yang tak berdasar.

Saya bukannya seorang perancang kewangan peribadi, tetapi minat saya dengan perancangan kewangan peribadi telah bermula dari saya belajar waktu di universiti lagi. Jadi, apa yang saya kongsikan di sini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan mutlak untuk anda memperbaiki masalah kewangan peribadi anda. Jika anda dapati apa yang saya kongsikan di sini belum dapat membantu anda untuk keluar dari belenggu hutang dan permasalahan kewangan yang serius, mungkin lebih baik untuk anda rujuk kepada pakar di AKPK, sebuah badan yang dibina kerajaan untuk membantu individu yang tersepit dalam belenggu hutang dan masalah kewangan peribadi.

Terus terang di sini, saya tidak menjual atau mempromosi skim cepat kaya, multi-level-marketing, insurans, takaful atau apa-apa juga tentang bisness online. Saya mungkin akan menyentuh sedikit sebanyak tentang subjek tersebut, tetapi ia bukanlah matlamat utama saya. Matlamat utama saya ialah untuk berkongsi tips-tips pengurusan kewangan peribadi yang mudah dan masuk akal untuk kita rakyat biasa praktikkan setiap hari.

Saya juga tidak akan berkongsi tentang bagaimana nak buat duit, sebab anda boleh cari banyak maklumat dari internet tentang itu. Yang tidak banyak maklumat ialah bagaimana hendak mengurus duit yang telah kita dapat dari apa juga cara yang halal, kerana maklumat tentang pengurusan kewangan peribadi dalam Bahasa Melayu yang boleh dipraktikkan setiap hari belum banyak dikongsikan di internet. Yang banyak pun dalam bahasa Inggeris.

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan tips yang saya kongsikan di sini adalah berdasarkan pengalaman peribadi sendiri, yang mana saya belajar dari kesilapan sendiri, daripada bacaan buku-buku kewangan peribadi berbahasa Inggeris, (Robert Kiyosaki dan Azizi Ali adalah antara guru terawal saya) dan daripada pembacaan dan pengkajian tentang pengurusan kewangan peribadi di internet selama lebih 7 tahun. Itulah masa yang telah saya habiskan untuk memperbaiki situasi kewangan peribadi saya.

Alhamdulillah, walaupun sekarang saya masih belum boleh mengisytiharkan yang saya sudah mendapat “kebebasan kewangan”, saya sudah dapat langsaikan semua “hutang tidak baik” saya dan hanya tinggal “hutang baik” saya. Semoga dengan perkongsian saya tentang pengurusan kewangan peribadi ini dapat juga membantu anda untuk mencapai kebebasan kewangan peribadi anda juga.

Kita akan mulakan perjalanan menuju impian kita dengan membetulkan situasi kewangan kita. Program 31 Hari Untuk Betulkan Kewangan Peribadi Anda merupakan satu program yang saya pelajari dari website rujukan, The Simple Dollar. Ia adalah langkah pertama yang saya lakukan sewaktu saya memulakan pembetulan kewangan peribadi saya. Apa yang berlaku seterusnya sudah menjadi sejarah. Semoga anda juga dapat manfaat dari perkongsian ini.

Mari kita bermula.

21 Disember 2015